Wednesday, March 17, 2010

Alahai BN.. dah gagal DEB, MEB pula..

Biar apa sekali dinamakan samada Dasar Ekonomi Baru (DEB) ataupun Model Ekonomi Baru (MEB), selagi Rasuah dan Kronisma turut serta.. Kita tidak akan kemana-mana..


Rasuah, kronisme akan gagalkan MEB
Sofi Wahab

Setelah gagal mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerajaan akan melancarkan dasar baru yang dinamakan Model Ekonomi Baru (MEB).

Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia dengan dua matlamat kembarnya untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur sosial negara itu gagal dalam pelaksanaannya. Kedua-dua matlamat tersebut gagal dicapai.

Walaupun DEB telah dihentikan secara rasmi pada 1990, ia masih menjadi 'frasa politik' dan sering digunakan Umno sebagai 'cara mengekalkan kuasa Umno', selain 'helah untuk mengagihkan apa yang perlu diagihkan dalam dunia komersial di kalangan mereka yang berbaikbaik dengan pemegang kuasa.

'Walaupun ia sepatutnya bertujuan membasmi kemiskinan dan melenyapkan perbezaan kelas dan perkauman, (tetapi) perlaksanaannya kelihatan seperti menambahkannya (perbezaan itu) lagi.

MEB, menurut Timbalan Perdana Menteri menjadi instrumen penting untuk merobohkan tembok perkauman dan perasan prasangka di antara kaum di negara ini.

Muhyiddin Yassin berkata di bawah MEB, semua kaum akan mempunyai peranan dan peluang yang sama untuk menggilap potensi masing masing serta bersaing secara adil dalam sektor ekonomi.

Beliau percaya apabila setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama mendapat jaminan hak yang adil, perpaduan dan keharmonian kaum dapat direalisasikan.

Tujuan dan objektif MEB ini baik, namun begitu bagi saya ianya akan gagal jika kerajaan gagal membasmi rasuah, kronisme dan salah guna kuasa. Faktor inilah sebenarnya yang menggagalkan DEB dahulu.

Banyak peluang perniagaan dan projek-projek dibolot oleh kroni-kroni BN sehingga menafikan hak peniaga-peniaga atau usahawan yang berpotensi dan kompeten.

Faktor ini menyebabkan projek-projek itu di'Ali Baba'kan selain berlaku ketirisan dan sebagainya. Amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga menjadi penyebab kegagalan DEB. Akhirnya kroni-kroni menjadi jutawan dan hidup senang lenang.

Usahawan yang berdaya maju dan kompeten tertinggal di belakang dan akhirnya tutup kedai. Kekayaan dan projek dibolot oleh sejumlah kecil peniaga dan usahawa yang rapat dengan orang tertentu. Bumiputera yang layak tidak mendapat tempat kerana amalan kronisme dan rasuah.

Bagi saya masalah membasmi kemiskinan boleh diatasi melalui 'sebuah negara kebajikan' atau welfare state, manakala isu penyusunan semula masyarakat boleh dicapai melalui penyusunan semula pekerajaan dan mewujudkan pusat pertumbuhan baru di beberapa wilayah - bukan melalui penyusunan semula pemilikan ekuiti.

Saya yakin jika amalan negatif seperti di atas tidak diamalkan sekurang-kurangnya DEB tidaklah gagal sebegitu teruk. Jika kerajaan mengulangi skrip yang sama dalam pelaksanaan MEB perkara yang sama mungkin berulang.

Namun begitu sebagai rakyat kita mahu melihat dan mengkaji dahulu dasar, perancangan dan intipati MEB. Apakah ianya benar-benar boleh diterima atau tidak kita kaji dan teliti dahulu.


HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails