Friday, February 12, 2010

Zahrain ! Hang buat aku FRUST !

“Saya kecewa kerana janji yang kita buat kepada penduduk kawasan Bayan Baru... mereka memberikan kita mandat, mereka berkorban untuk memilih Zahrain sebagai jurucakap Pakatan Rakyat, bukannya wakil bebas ataupun jurucakap mesra Barisan Nasional”

Oleh Shazwan Mustafa Kamal

PUTRAJAYA, Feb 12 — Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dalam reaksi segeranya berkata beliau kecewa dengan keputusan Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim untuk keluar partinya dan menjadi wakil rakyat bebas.

Zahrain, salah seorang daripada empat Ahli Parlimen PKR di Pulau Pinang pagi ini mengumumkan keputusannya untuk keluar parti itu, menjadikannya anggota perundangan persekutuan yang pertama dari PKR berbuat demikian.

“Sebagai rakan satu parti dan kawan, saya kecewa kerana beliau tidak pernah membawa perkara ini ke peringkat parti, kecuali perselisihan peribadinya dengan Lim Guan Eng,” kata Anwar kepada wartawan di pekarangan Mahkamah Rayuan di sini.

Ketua pembangkang itu berada di Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak tuntutan agar kes liwatnya diketepikan.

Dalam komennya Anwar mempertahankan pendiriannya bahawa kecaman pedas Zahrain terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang adalah tidak patut dan tidak munasabah sama sekali.

“Saya kecewa kerana janji yang kita buat kepada penduduk kawasan Bayan Baru... mereka memberikan kita mandat, mereka berkorban untuk memilih beliau (Zahrain) sebagai jurucakap Pakatan Rakyat, bukannya wakil bebas ataupun jurucakap mesra Barisan (Nasional),” katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat enggan mengulas lanjut sambil menambah berita ini adalah sesuatu yang baru baginya dan perlu berunding dengan rakan-rakannya.

Malah Anwar juga tidak memberikan respons apabila pemberita bertanya kepada beliau dan peguamnya Karpal Singh berhubung kemungkinan kesan ke atas Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Kedua-dua mereka adalah wakil rakyat dari Pulau Pinang iaitu Anwar di Permatang Pauh manakala Karpal mewakili kerusi Bukit Gelugor.

Anwar kekal diam tetapi ia dijawab oleh Karpal.

“Tidak akan ada kesan balas. Pemergian Zahrain (bertindak keluar) bukan satu kerugian kepada Pakatan Rakyat di Pulau Pinang,” kata Karpal yang juga Penasihat Kebangsaan DAP.

Kata Karpal, Pulau Pinang masih merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat.

Zahrain bukan tokoh politik berpengaruh, ujar Karpal.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails