Thursday, February 11, 2010

UMNO takut hilang sokongan bukan Melayu

“Saya percaya program Juara Rakyat, gagasan 1Malaysia dan slogan BN Menang Kedah Senang hanyalah isu untuk mengalih perhatian rakyat bagi menutup kelemahan parti itu. Saya pasti rakyat tertanya-tanya sejauh mana kejujuran pemimpin UMNO selama ini,”


ALOR SETAR - UMNO Kedah didakwa cuba mencetuskan sentimen perkauman di negeri ini dengan membuat propaganda supaya kaum bukan Melayu tidak lagi menyokong Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya beralih menyokong Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Darul Aman, Lee Guan Aik berkata, ini menunjukkan parti itu takut kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu, termasuk bimbang akan sokongan orang Melayu terhadap PR, khususnya DAP.

“UMNO Kedah tidak senang duduk dengan senario politik di sini kerana mereka kalah banyak pada pilihan raya lalu, dan sokongan beralih kepada Pakatan Rakyat, terutama DAP yang bukan sahaja mendapat sokongan orang Cina, tetapi juga orang Melayu,” katanya.

Guan Aik mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini, mengatakan orang Cina tidak perlukan DAP untuk meningkatkan ekonomi mereka kerana sudah menerima kemajuan ekonomi ketika BN memerintah.

Setiausaha DAP Kedah itu berkata, kebimbangan ini mungkin turut menular di negeri-negeri lain dan seterusnya mendorong BN menganjurkan pelbagai program di semua peringkat bagi mendapatkan semula sokongan rakyat.

“Kenyataan Mohd Shafie itu menunjukkan beliau tidak sensitif dengan sentimen rakyat tempatan kerana bukan anak jati Kedah. Sepatutnya rakyat yang cakap begitu, bukannya seorang pemimpin. Ini jelas membuktikan rakyat tetap bersama Pakatan Rakyat, dan kenyataan itu hanya bersifat propaganda,” katanya.

Guan Aik berkata, DAP Kedah yakin banyak lagi kerusi di kawasan yang majoriti Melayu akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang.

“Saya percaya program Juara Rakyat, gagasan 1Malaysia dan slogan BN Menang Kedah Senang hanyalah isu untuk mengalih perhatian rakyat bagi menutup kelemahan parti itu. Saya pasti rakyat tertanya-tanya sejauh mana kejujuran pemimpin UMNO selama ini,” katanya.

Menurutnya, UMNO Kedah tidak perlu takut pada DAP kerana parti itu sahaja tidak memungkinkan mereka untuk memerintah Kedah.

“DAP mendapat sokongan pelbagai kaum di sini, Malah hampir separuh ahli DAP Kota Darul Aman terdiri daripada orang Melayu. Oleh itu, UMNO kenalah takut bukan sahaja mereka hilang sokongan orang Cina dan India, tetapi juga sokongan orang Melayu,” katanya.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails