Tuesday, February 23, 2010

Shahidan nak jadi MB Perlis semula?

Isu pelantikan menteri besar Perlis selepas pilihan raya umum 2008 belum berakhir. Terkini, tersebar di Internet mengenai dakwaan wujudnya 'persefahaman' antara puak yang bertelagah di Perlis mengenai penggiliran jawatan tersebut.

Mengikut 'persefahaman' tersebut - bulan depan tiba giliran Datuk Seri Shahidan Kassim pula untuk menjadi menteri besar Perlis yang kini disandang oleh Datuk Seri Md Isa Sabu.

Bekas ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh yang merupakan penyokong kuat Shahidan, mendakwa wujudnya persefahaman mengenai penggiliran jawatan menteri besar Perlis.

Ketika dihubungi Malaysiakini minggu lalu, beliau mendakwa, persafahaman itu dicapai pada pertemuan pada 21 dan 22 Februari 2008 - sehari sebelum penamaan calon.

Menurutnya, pertemuan dihadiri perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi; timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak; dengan wakil kumpulan A - Shahidan - dengan dua wakil kumpulan B - setiausaha agung Umno ketika itu, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan ahli parlimen Padang Besar, Datuk Azmi Khalid.

Bagaimanapun, Radzi yang juga ahli Parlimen Kangar menafikan wujudnya perjanjian bahawa Shahidan akan kembali menjawat jawatan itu Mac ini.

"Tidak ada perjanjian tersebut. Tidak timbul langsung," katanya dihubungi Malaysiakini semalam.

"Tidak ada perjanjian itu sama ada bertulis ataupun secara lisan, tidak timbul masalah ini," tambahnya.

Bagaimanapun Radzi mengakui memang ada pertemuan antara Najib, Shahidan, Azmi dan beliau sendiri, dalam proses untuk menentukan calon BN yang akan bertanding di Perlis pada pilihan raya umum 2008.

Memang sudah menjadi rahsia umum bahawa kedua-dua pemimpin tersebut tidak sehaluan, khususnya dalam penentuan senarai calon Umno di Perlis dari kalangan penyokong masing-masing, pada 2008.

Menurut Hashim lagi, memang ada perjanjian itu, "ia bukan sekadar cakap-cakap sahaja."

Dakwaan mengenai persefahaman penggiliran menteri besar itu disiarkan di blog Qunang2 dan laman sosial Facebook - kedua-duanya milik bekas jawatankuasa Pemuda Umno Perlis, Syed Atief Syed Abu Bakar yang juga bekas pegawai Shahidan.

Beliau mendakwa Shahidan akan memegang semula jawatan tersebut bulan depan ekoran wujudnya persefahaman penggiliran jawatan menteri besar Perlis.

Syed Atief yang kini ketua ketua Pemuda Umno cawangan Bandar Arau, memuatkan tujuh siri tulisan dalam blognya itu mulai Januari lalu, mengenai 'jatuh bangun' Shahidan, termasuk siri keempat yang menyentuhkan tentang persefahaman tersebut.

Sementara itu, Radzi memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan pilihan raya lalu membuktikan rakyat Perlis menolak kepimpinan Shahidan apabila Umno kalah di dua DUN - Sanglang dan Simpang Empat - dalam bahagian Arau yang diketuai oleh bekas menteri besar itu.

"Rakyat sendiri sudah tunjukkan dengan menolak beliau. Rakyat sendiri yang tidak mahu (kepada kepimpinannya)," katanya.

Malah, katanya, beliau mendapat makluman dari ibu pejabat Umno bahawa pertambahan ahli Umno di bahagian Arau pada tahun lepas kurang daripada bahagian Kangar dan Padang Besar.

Katanya bahagian Arau hanya menerima 120 orang, berbanding Kangar dan Padang Besar yang masing-masing mencatat hampir 400 ahli.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails