Saturday, February 27, 2010

Protes laksana GST di ibu negara bulan depan

KOTA BARU, 27 Feb — Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim mengalu-alukan kehadiran beramai-ramai rakyat negara ini menyertai protes terhadap keputusan kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di ibu negara pada 15 Mac ini.

Kata beliau, protes akan diadakan di pekarangan bangunan Parlimen yang bersidang mulai pertengahan bulan depan.

"Bantahan ini bukan untuk cetuskan sebarang permusuhan, tetapi demi untuk membela kebajikan rakyat.

“Terutamanya rakyat bawahan yang berpendapatan rendah, petani, nelayan termasuklah ibu-ibu tunggal.

“Kita rasa bertanggungjawab terhadap kesan pelaksanaan GST terhadap mereka. Maka kita tidak akan biarkan rakyat terus ditekan dan ditipu dengan semudah itu oleh kerajaan pemerintahan,” kata beliau pada majlis penerangan mengenai GST.

Majlis tersebut diadakan di Medan Ilmu dekat sini, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Senator Mumtaz Mat Nawi dan Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdul Rahman.

Pada majlis berkenaan Mohd Nasir mendedahkan pelaksanaan GST akan mengakibatkan 80 peratus rakyat Malaysia mengalami penurunan pendapatan dan kualiti hidup selain melebarluaskan lagi jurang antara kaya dan miskin rakyat negara ini.

Katanya, pelaksanaan GST tidak ubah sebahagian daripada usaha kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk memindah bebanan cukai daripada golongan kaya dan korporat kepada rakyat biasa.

“Langkah demikian adalah langkah memijak kepala rakyat, bukan langkah untuk mengangkat taraf hidup rakyat ke arah yang lebih stabil.

"Kita rakyat mesti faham sungguh-sungguh konsep akan dilaksanakan dalam GST ini.

“Ingat dan faham, sesungguhnya GST akan memiskinkan lagi rakyat miskin,” katanya.

Sementara itu Saifuddin dengan nada serta gaya bahasa yang mudah menerangkan GST terpaksa dibuat kerana kerajaan Malaysia tidak ada duit akibat keborosan, ketirisan termasuklah rasuah.

“Semua rakyat akan kena dengan GST ini. Tak kira kamu orang susah ke, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang hatta ibu-ibu tunggal sekali pun,” katanya.

Rang undang-undang GST akan dibaca buat kali kedua pada sidang Parlimen yang bermula 15 Mac ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails