Monday, February 15, 2010

Pesuruhjaya PAS Wilayah hilang

KUALA LUMPUR, 15 Feb — Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Nor (gambar) yang keluar rumah beliau Khamis lalu dikatakan hilang dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Ketua PAS Wilayah Persekutuan selama dua penggal itu, berusia 52 tahun, dikatakan keluar rumah untuk menghadiri mesyuarat Koperasi Muslimin Berhad pada sebelah malam Khamis lalu dengan memandu kenderaan Unser bernombor pendaftaran WJD 4469.

Sejak itu beliau dikatakan tidak kembali ke rumahnya.

Laporan polis mengenai kehilangan beliau telah dibuat pagi ini, kata Pengerusi Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Saya hanya tahu apabila dimaklumkan pagi tadi bahawa keluarganya akan membuat laporan polis... beliau keluar rumah Khamis lalu dan tidak dapat dikesan sejak itu.

“Oleh itu, saya sudah meminta ahli-ahli Pemuda PAS supaya menggerakkan usaha mengesan beliau,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Pemuda PAS pusat.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali yang menghadiri mesyuarat koperasi itu memberitahu Harakahdaily, Mohamad ada memaklumkannya mahu berjumpa dengan kawan beliau tengah malam selepas mesyuarat itu.

“Namun sehingga kini beliau tidak pulang dan tidak juga dapat dihubungi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon ahli PAS berdoa agar Mohamad berada dalam keadaan selamat dan dapat menghubungi keluarganya dengan segera.

“Saya memohon Unit Amal dan Briged Amal agar membuat skuad mencari segera,” katanya.

Dalam pada itu anak Mohamad, Umar berkata kali terakhir ayahnya dilihat adalah di kawasan rehat dan rawat Maran, Pahang pada malam Jumaat lalu.

Katanya, kira-kira pukul 8 pagi keesokan hari telefon beliau dikesan berada di Temerloh, Pahang.

“Sejak itu kami tidak ada sebarang maklumat lagi tentang ayah kami,” kata Umar.

Menurut Umar lagi, perkara ini tidak pernah berlaku ke atas ayahnya kerana beliau akan memaklumkan pergerakannya kepada keluarga mereka.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails