Friday, February 12, 2010

Perang terhadap Zahrain akan bermula malam ini..

Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mengisytiharkan “perang” terhadap Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang memutuskan untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini, sekali gus bertindak sebagai wakil rakyat bebas.

Tidak sampai 12 jam selepas Zahrain mengumumkan tindakannya membelakangi PR dengan keluar PKR, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman (gambar) pihaknya akan mendedahkan segala-galanya mengenai Zahrain dan menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan beliau malam ini.

Majlis penerangan yang akan dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diadakan di bahagian pilihan raya Bayan Baru.

“Saya yakin Ketua Menteri akan mendedahkan segala-galanya malam ini,” kata Mansor yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Majlis penerangan ini juga akan dihadiri oleh semua Exco kerajaan negeri, kata Mansor yang menggantikan Zahrain sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang tahun lalu.


Zahrain mengumumkan keluar dari PKR di sini pagi tadi berkuat kuasa serta-merta.

Zahrain berkata keputusan itu adalah kerana beliau kecewa dengan kepimpinan Lim serta kesal dengan perjuangan PKR dalam PR.

Mengulas keputusan Zahrain keluar PKR, Mansor berkata tindakan itu memang sudah dijangkakan.

“Sebaik sahaja Zahrain mula menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri, saya sudah menjangkakan yang beliau akan keluar PKR.

“Saya tidak kecewa dengan tindakan beliau keluar PKR, yang saya kecewa ialah perkataan-perkataan yang beliau gunakan terhadap Datuk Seri Anwar dan Ketua Menteri,” katanya.

Bagaimanapun kata Mansor kini senang bagi pihaknya untuk berhadapan dengan Zahrain.

“Sebelum beliau keluar, Zahrain bersama PKR... jadi sukar bagi menjawab tuduhan-tuduhan tidak berasas dibangkitkan beliau.

“Tetapi oleh kerana kini beliau sudah keluar, maka kami di PKR juga boleh menghadapinya dan menjawab segala tuduhan,” katanya.

Mansor juga memberitahu, sebenarnya kepimpinan bahagian Bayan Baru juga telah memutuskan untuk mengambil tindakan undi tidak percaya ke atas Zahrain.

“Ia sepatutnya diluluskan (dalam beberapa hari lagi) tetapi oleh kerana Zahrain sudah keluar, ia sudah tidak perlu diadakan, sudah tidak relevan.

“Ini dengan sendiri menunjukkan Zahrain sudah tiada sokongan di bahagiannya sendiri,” kata beliau yang turut menekankan bahawa tindakannya tidak akan membawa sebarang kesan.

Bahagian itu akan dipangku oleh timbalannya Tan Seng Kiat.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider akhir bulan lalu, Mansor memberitahu bahawa tiga hingga empat ahli Parlimen parti itu menunjukkan “hasrat” untuk menyertai Barisan Nasional.

Mereka termasuklah Zahrain.

Kini PKR ada empat anggota Parlimen di Pulau Pinang. Selain Zahrain tiga yang lain ialah Anwar (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmandi Yusoff (Balik Pulau).

Tindakan Zahrain keluar parti menyusuli kenyataannya dua minggu lalu mengkritik keras Lim sebagai diktator dan berfikiran komunis.

Zahrain dipetik sebagai berkata bahawa PR tidak akan berkrompomi dengan pemimpin dari Melaka itu kerana Lim telah gagal memenuhi janji pilihan rayanya.

Ini bukan pertama kali Zahrain mengkritik Lim.

Pada April tahun lalu, Zahrain turut menyalahkan Lim berhubung pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 dan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails