Monday, February 1, 2010

Pelajaran sejarah untuk Dr Mahathir

Kesian Dr Mahathir. Semakin hampir ke destinasi akhir, semakin kurang daya fikir. Begitulah ragam manusia apabila sudah lanjut usia.

“Tun Dr. Mahathir Mohamed delivered a history lesson on Malay unity today and blamed PAS and PKR for dividing the community because of what he claimed was their greed for power.”

Maaf Tun, saya tidak dapat menerima pelajaran sejarah songsang, yang mengaitkan PAS dan PKR sebagai punca perpecahan Melayu. Disebabkan saya bukan balaci UMNO, tidak juga ahli PAS atau PKR, maka itu saya masih boleh membezakan antara ajaran sesat, fantasi dan kenyataan.

Mungkin kerana terlalu taksub dengan pujian juak-juak keliling, Dr Mahathir terlupa bahawa setiap telunjuk yang menuding, tiga jari lagi terarah ke diri sendiri. Itulah yang sebenarnya beliau lakukan, menepuk air di dulang, merecik ke muka sendiri.

Sejak PAS wujud pada tahun 1951 sehingga Dr Mahathir dinobatkan sebagai Perdana Menteri, berapa kali orang Melayu berpecah dan berapa ramai yang menganggotai parti bukan UMNO?

Mungkin kerana faktor usia, Dr Mahathir terlupa benih perpecahan yang beliau semai hidup subur dan masih lagi dituai hingga hari ini. Semasa berada di persada kekuasaan berapa kali pernah beliau menangani masalah mengikut tradisi orang Melayu, yang membolehkan kiambang bertaut setelah biduk berlalu? Sebaliknya, pecah dan perintah peningglan penjajah yang diamalkan. Setelah orang Melayu berpecah, maka mudahlah proses mengekalkan kuasa.

“Melayu mudah lupa”.ungkapan keramat Dr Mahathir. Oleh kerana beliau sudah tergolong sebagai Melayu, maka wabak pelupa orang Melayu pun sudah meresap ke dalam dirinya. Untuk memulihkan ingatan, saya catitkan rentetan peristiwa besar yang membawa kepada perpecahan.

Keretakan UMNO dan orang Melayu bermula pada tahun 1986 apabila timbalan beliau, Dato Musa Hitam meletakkan jawatan kerana tidak sehaluan. Amanat Musa “Jaga UMNO baik-baik” dipandang ringan oleh orang Melayu sendiri. Ramai pengikut fanatik berpendapat orang Melayu akan terus bersatu, mengangguk patuh macam abdi walau apa pun yang dilakukan oleh pemimpin.

Retak menjadi belah apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988. Susulan dari itu, wujud parti Semangat 46. Berduyun-duyun orang Melayu keluar parti kerana tidak mahu terus berada di bawah cengkaman kuku besi. Setelah menyedari Semangat 46 bukannya angsa yang bertelur emas, ramai berpatah balik termasuklah DS Rais Yatim yang pernah membakar jambatan. Namun, kembalinya mereka masih belum dapat menyatukan orang Melayu.

Retak yang belah terus berkecai macam kaca terhempas ke batu apabila Dr Mahathir melucutkan jawatan timbalannya pada tahun 1998. Kebencian orang Melayu memuncak setelah beliau sendiri mengaibkan bekas timbalannya menerusi media yang di kuasai kerajaan. Ramai yang tidak pernah mendaftar sebagai pengundi, termasuk saya, bergegas ke pusat pendaftaran kerana sudah hilang kepercayaan.

Dalam pilihan raya 1999, untuk pertama kalinya, UMNO kehilangan 32 kerusi dari 104 yang dipertandingkan. Terlepasnya Kelantan dan Terengganu bukan kerana keampuhan PAS dan Semangat 46 tapi kerana UMNO sendiri jadi lemah. Siapa yang menyuntik kuman polio ke dalam UMNO kalau bukan pemimpinnya sendiri? Siapa pencetus perpecahan?

Keputusan pengadilan yang tidak menggambarkan keadilan merentap sisa-sisa kepercayaan orang Melayu yang masih siuman. Mereka menunggu wadah perjuangan baru. Apabila PKR ditubuhkan, orang-orang UMNO yang mengutamakan prinsip dari kepentingan peribadi tidak teragak-agak keluar parti untuk meneruskan perjuangan.

”PAS and PKR greed for power”. Kenapa PAS dan PKR ataupun Semangat 46 sahaja yang dituduh tamak kuasa? Apakah yang berkuasa tidak tamak kuasa kalau enggan memberi laluan kepada orang lain?

”Perjuangan belum selesai”. Itulah alasan Dr Mahathir. Kalau belum selesai, kenapa akhirnya melepaskan juga jawatan Perdana Menteri? Kenapa tidak terus duduk di singgahsana hingga denyutan nadi terhenti?

PAS dan PKR punca perpecahan? Tidakkah terfikir tindakan keluar dari UMNO semasa Pak Lah menjadi perdana menteri boleh meranapkan perpaduan orang Melayu yang sudah nazak? Atau memang itu maksud yang tersirat?

Benih yang disemai Dr Mahathir terus dituai. Kalau dulunya rakyat Terengganu dihukum kerana memilih PAS untuk menerajui kerajaan negeri, kali ini rakyat Kelantan pula yang menjadi mangsa.

Berbeza dengan Terengganu, Kelantan masih ada pejuang tulen yang sanggup bangun memperjuangkan hak rakyat walaupun menyedari kemungkinan beliau tersingkir dari parti kerana kononnya melanggar etika. Sekiranya UMNO mengikut jejak Dr Mahathir, memilih jalan pintas dengan mencantas, menyingkir Ku Li, perpecahan orang Melayu pasti berlaku lagi.

Kalau tidak cermat menarik rambut dari dalam tepung, kemungkinan rambut bukan saja putus, tapi tepung juga akan berserakan. Perpecahan yang bakal menanti lebih dari apa yang telah dialami.

Cuba teliti maksud tersirat disebalik kenyataan Tengku Razaleigh:

“The oil caucus I will lead is not just about oil. It is to re-examine the relationship between the states and the federal government.”

“Let us re-examine the terms of the Federation Agreement signed in 1948.”

Dari mana puncanya segala permasalahan ini? Interpretasi ‘royalty’ boleh ditukar mengikut selera kerajaan pusat. Tidakkah ia bermula pada tahun 1999 ketika Dr Mahathir menerajui UMNO dan kerajaan?

Virus yang menyerang saraf perpaduan orang Melayu bertambah kronik setelah Dr Mahathir dan pengikut tegar dibalut daki penswastaan. Orang Melayu yang selama ini sanggup sama melapah hati gajah, mencecah hati kuman bertukar menjadi enau melepaskan pucuk masing-masing. Akhirnya muncul dua kasta Melayu. ‘Brahmin’ dari kelompok elit politik UMNO yang berideologi ‘matalamat menghalalkan cara’ di satu pihak manakala di pihak yang lain terdiri dari golongan ‘untouchables’, merangkumi masyarakat kampung, Felda dan nelayan.

Rumpun Melayu akan terus layu kalau punca kelahiran ‘Brahmin’ dan ‘untouchables’ dibiarkan rendang.


Utuh Paloi Banjar Blog

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails