Sunday, February 7, 2010

Nik Aziz: Dialog dengan Umno hanya soal Islam

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Feb 6 — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sekali lagi mengulangi kesediaan beliau untuk berdialog dengan Umno, tetapi ia hanya akan berkisar pada soal agama Islam.

Sehubungan itu tegas Menteri Besar Kelantan, perbincangan tersebut hanya akan membabitkan kepada persoalan iaitu mengapa Umno tolak Islam dan PAS.

“PAS orang Melayu, bergerak atas nama Islam.

“Islam itu agama, bukan falsafah... bukan teori. Kenapa Umno tak boleh terima? Saya bersedia untuk bincang perkara itu dengan Umno pada bila-bila masa dan di mana saja tentang perkara ini.

“Hanya dalam topik itu sahaja, tidak lebih dari itu,” kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran laman Facebook Tok Guru di sini petang ini.

Nik Aziz memberitahu tiga bulan lalu telah menghantar surat rasmi kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bagi tujuan perkara tersebut, namun sehingga kini tiada jawapan.

“Tiga bulan lepas saya dah kirim surat pada presiden Umno, tapi sampai sekarang tiada jawapan,” katanya.

Sebelum ini Nik Aziz pernah membuat kenyataan rela PAS dibubarkan untuk bersama Umno sekiranya parti itu sedia mengubah dasarnya kepada dasar Islam seperti mana yang dibawa PAS.

Sementara itu pada majlis yang sama beliau tidak menolak realiti alam siber seperti blog dan facebook mampu dimanfaatkan untuk menjalankan gerak kerja dakwah dengan menyalurkan maklumat yang benar kepada masyarakat.

“Tiap-tiap perkara atas muka dunia ini sifatnya bermuka dua, tinggal lagi sejauh mana kebijaksanaan kita menggunakan benda itu.

“Kalau guna ikut jalan salah, membuat fitnah, menyebar berita-berita palsu, berdosa. Begitulah sebaliknya.

“Atas kita, sebab akal yang diberi Allah Taala di antaranya ialah untuk memikir atau membentuk sesuatu perkara itu mengikut jalan kebaikan atau kejahatan,” katanya.

Pagi tadi, Najib meminta agar PAS lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan Umno mengenai sebarang isu.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata pendirian tegas PAS amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pengalaman sebelum ini membuktikan PAS tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik dalam pendiriannya.

“Saya tak tau nak kata apa sebab pendirian dia (Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ni bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju, ada masa tutup, jadi saya tak tahu apa pendirian sebenarnya.

“Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh PAS, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita,” kata beliau.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails