Tuesday, February 2, 2010

MP PKR - Dia nak melompat dah!!!

Tak bertimbang rasa sungguh, kenapa perlu dibangkitkan isu macam ni ketika DSAI sedang dihadapkan ke Mahkamah?

Jelas kelihatan sebagai seorang manusia yang pentingkan diri sendiri dan tidak tahu mengenang budi!!..


‘Kata dua’ MP Nibong Tebal keluar PKR jika isu tak selesai

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 2 — Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng memberi ‘kata dua’ akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika siri masalah dibangkitkan dua wakil rakyat dari Pulau Pinang tidak diselesaikan.

Bagaimanapun Tan berkata beliau belum mengambil sebarang pendirian muktamad setakat ini.

Malah beliau juga tidak khuatir jika parti turut memutuskan untuk merujuknya kepada lembaga disiplin.

“Jika isu yang dibangkitkan tidak diselesaikan oleh parti dan kerajaan negeri, saya mungkin akan keluar parti... tetapi buat masa ini keputusan (keluar PKR) belum ada dalam kalendar saya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Tan merupakan antara Ahli Parlimen dari Pulau Pinang yang disebut-sebut akan keluar PKR ekoran perasaan tidak puas hati dengan cara kepimpinan parti dan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu-isu dibangkitkan.

Kini, PKR Pulau Pinang mempunyai empat anggota Parlimen.

Selain Tan, tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru) dan Mohd Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

Semalam, Zahrain telah menafikan laporan yang beliau akan keluar PKR.

Mengulas lanjut kata Tan, apa yang dibangkitkan oleh beliau dan Zahrain ialah kepimpinan kerajaan negeri khususnya Lim Guan Eng tidak peka dengan isu-isu yang dibawa.

“Banyak isu yang dibawa sejak selepas pilihan raya umum tidak ada penyelesaian. Perkara-perkara yang dibawa kepada kerajaan negeri juga dibawa ke perhatian parti, tetapi tiada penyelesaian juga.

“Jika tiada penyelesaian, jika kami tidak dimaklumkan tentang sesuatu penyelesaian, bagaimana kami hendak menerangkan kepada ahli-ahli parti?” katanya.

“Sebab itu kami menggunakan media untuk mengumumkan masalah yang wujud... apakah ini salah?” katanya.

Antara isu yang dibawa ke perhatian pucuk kepimpinan PKR ialah tindakan unilateral Lim dalam banyak perkara khususnya berhubung soal pelantikan ahli-ahli majlis negeri.

Ditanya apakah tidak bimbang akan dirujuk kepada tindakan disiplin, Tan memberitahu, beliau pasti lembaga disiplin tidak akan mengambil tindakan disiplin.

“Banyak kes yang disiasat sebelum ini, berapa banyak kes diambil tindakan? Saya pasti mereka yang dihadapkan ke lembaga disiplin kali ini juga tidak akan dikenakan tindakan kelak,” katanya.

Sejak Selasa lalu PKR telah memutuskan untuk merujuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan Zahrain serta Datuk Zaid Ibrahim ke lembaga disiplin.

Tan juga menafikan beliau dan Zahrain ada membincangkan soal keluar PKR.

Malah selama ini, Tan mendakwa sikap ala diktator yang ditunjukkan Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, menyebabkan hubungan rakan pakatan pembangkang di Pulau Pinang hanya kelihatan baik secara luaran tetapi ‘bergolak’ di dalam.

‘‘Keadaan ini menyebabkan Pulau Pinang bukan ditadbir oleh Pakatan tetapi oleh Guan Eng kerana apa juga teguran tidak diendahkan kerana seolah-olah hanya dia saja yang betul.

‘‘Ramai pemimpin dalam pakatan yang tidak gemar caranya (Lim) tetapi tidak berani menegur kerana akan dilabel sebagai ejen Umno dan BN,” katanya.

Minggu lalu, Zahrain dengan lantang mengkritik kepimpinan Lim yang dilabelnya sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis.

Tan berkata, kenyataan Zahrain itu sememangnya dirasai oleh ahli-ahli PKR yang lain tetapi mereka enggan menyuarakannya kerana masih mahu bertolak ansur dan menjaga hubungan baik dengan DAP.

Menurutnya, Guan Eng sepatutnya bersikap adil dengan memberi kepercayaan kepada rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk sama-sama memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Pulau Pinang Dr Mansor Othman masih percaya tiga hingga empat Ahli Parlimen parti itu akan meletakkan jawatan tetapi yakin ia tidak akan mendatangkan kesan.

“Saya tidak melihat ia akan memberi kesan (kepada parti),” kata beliau ketika dihubungi.

Mansor berkata PKR tidak menahan jika ada pihak yang “menyusahkan” parti mengambil langkah untuk keluar parti.

Dua hari lalu Mansor memberitahu The Malaysian Insider bahawa tiga hingga empat ahli Parlimen parti itu kemungkinan akan menyertai BN, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di Parlimen.

Malah ada sumber yang mengatakan jumlah itu boleh sampai 10 orang bagi BN memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN memerlukan 11 lagi kerusi daripada 222 anggota di Dewan Rakyat untuk mencapai sasaran itu.

Selain Zahrain, Ahli Parlimen Merbok Datuk Rashid Din dan Azan Ismail dari Indera Mahkota telah menafikan desas-desus meninggalkan PKR.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails