Tuesday, February 9, 2010

MB Perak itu Zambry! Terimalah dengan hati yang terbuka..

Lebih baik Zambry menjadi MB Perak kerana ini akan memberikan masa kepada ADUN Pakatan Rakyat yang ada sekarang untuk membaiki segala kelemahan yang ada bagi menghadapi PRU13 nanti


Mahkamah Persekutuan hari dengan rasminya telah mengistiharkan bahawa DS Zambry adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Suka atau tidak kita terpaksa menerimanya walaupun pahit untuk diterima itulah hakikat yang perlu kita telan.

Dalam penghakiman yang telah dibacakan oleh Hakim Arifin.

“Tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri yang memerlukan undi tidak percaya dijalankan di dalam Dewan Undangan Negeri. Dalam kes semasa, adalah tidak meragukan yang Zambry mempunyai sokongan 31 daripada 59 anggota Dewan Undangan Negeri,”

Selama ini kita sedar kemungkinan Mahkamah membuat keputusan yang menyebelahi kita adalah sesuatu yang tidak mungkin, kerana kita tahu Mahkamah dikuasai oleh Barisan Nasional bukan Pakatan Rakyat.

Dalam kita sedar akan keputusan yang akan kita terima itu kita masih tidak mahu berpijak dibumi yang nyata, kita sibuk menyebarkan khabar angin mengatakan DUN Perak akan dibubarkan. Bukan sekali, malah berkali-kali khabar angin yang di sebarkan.

Kita sebarkan untuk mengangkat kembali semangat para penyokong Pakatan Rakyat ketahap yang sepatutnya. Ketahap yang tertinggi jika boleh.

Tetapi kita terlupa dan kita berpura-pura tidak nampak dengan apa implikasi dari khabar angin yang disebarkan itu. Kita berpura-pura tidak nampak dengan menurunnya sambutan Rakyat Perak apabila khabar angin terus disebarkan.

Mungkin pada permulaan khabar angin disebarkan kita nampak semangat anak-anak Perak berkobar-kobar menyokong agar DUN dibubarkan, tetapi apabila mereka sedar yang khabar angin itu hanyalah khabar angin, semangat mereka mula patah.

Kita teruskan lagi menyebar khabar angin yang kita sangkakan akan mengangkat kembali semangat anak-anak Perak yang bersama Pakatan Rakyat., tanpa kita mempedulikan implikasi sebenar.

Kita ketepikan hakikat yang menunjukkan bahawa apabila setiap kali khabar angin disebarkan dan khabar angin itu hanyalah khabar angin semangat anak-anak Perak yang bersama Pakatan Rakyat semakin menurun.

Menurun kerana merasakan diri mereka dipermainkan oleh pemimpin-pemimpin mereka bukan sekali malah berkali-kali.

Jadi setelah menyebarkan khabar angin yang terakhir pada minggu lepas, kita cuba untuk menghimpunkan 10,000 pemuda Perak di satu kawasan jauh di pendalaman di Selama Perak.

Kita himpunkan mereka jauh di pendalaman untuk menunjukkan kepada Barisan Nasional bahawa pemuda Perak masih ramai yang menyokong Pakatan Rakyat.

Hasilnya apa yang kita lihat? 10,000 orang kah yang hadir? Demi untuk menggembirakan hati kita sendiri dan para penyokong Pakat Rakyat yang tidak dapat hadir. Kita telah mewar-warkan bahawa perhimpunan telah berjaya, lebih dari 10,000 pemuda yang hadir..

Kenapa kita boleh menerima jumlah sebenar yang hadir? Kenapa kita perlu menipu diri sendiri? Dan kenapa kita perlu menipu penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang tidak hadir di perhimpunan itu?

Selama ini kita sedar bahawa kebanyakkan dari penyokong Pakatan Rakyat bukanlah terdiri dari golongan yang mudah diperbodohkan, jadi kenapa perlu mereka diperbodohkan?

Bersyukurlah dengan keputusan yang telah diumumkan oleh Mahkamah itu, pasti ada kebaikkan untuk kita disebaliknya. Mungkin Allah SWT memberikan kita lebih masa untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Mungkin jika ditakdirkan Allah, Mahkamah memutuskan bahawa DS Nizar MB Perak yang sah dan DS Nizar akan bertindak membubarkan DUN, kita tidak mungkin memenangi kembali kerusi yang dikuasai oleh ADUN Pakatan Rakyat sekarang.

Kita mungkin akan menyaksikan kekalahan yang memalukan dan kekalahan yang akan meletakkan semangat penyokong-penyokong Pakatan Rakyat ke tahap yang lebih rendah.

Menyaksikan kehilangan kerusi yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat, hilang kerana pengundi tidak memberikan sokongan kepada Calon dari Pakatan Rakyat.

Mereka tidak memberikan undi kerana selama berkuasa ADUN-ADUN dari Pakatan Rakyat itu amat sukar untuk mereka dekati..

Mereka tidak memberikan undi kerana ADUN – ADUN dari Pakatan Rakyat ini amat sukar untuk dilihat menziarahi mereka..

Mereka tidak memberikan undi kerana ADUN – ADUN dari Pakatan Rakyat ini lebih seronok berucap di ceramah dari melawat kawasan mereka..

Jadi lebih baik Zambry menjadi MB Perak kerana ini akan memberikan masa kepada ADUN Pakatan Rakyat yang ada sekarang untuk membaiki segala kelemahan yang ada bagi menghadapi PRU13 nanti..

Gunakanlah sebaiknya masa yang dianugerahkan Allah kepada kita kali ini..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails