Wednesday, February 3, 2010

Masalah Tiga 'Z' dalam KeADILan

Kesimpulan yang dapat diringkaskan di sini, pada pandangan penulis ialah, mereka-mereka yang menimbulkan masalah ini sebenarnya gagal memahami perjuangan KeADILan dan gagal merenung secara konsisten kepimpinan Anwar.

Malah mereka ini sebenarnya semakin menghakis kepercayaan rakyat terhadap diri mereka sendiri. Jika mereka tidak memperbetulkan tindakan atau tidak berhati-hati dalam membuat kenyataan, nescaya rakyat tidak akan menerima nama mereka, untuk tersenarai sebagai calon-calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Mohd Rashidi Hasan

POLITIK Malaysia tidak pernah surut dengan krisis. Lepas satu krisis diatasi, timbul lagi krisis baru. Ia menyebabkan iklim politik negara sentiasa panas dan rancak.

Terbaru timbul krisis dalaman Parti KeADILan Rakyat, sehingga tiga orang pemimpinnya iaitu Ahli MPT, Dato' Zaid Ibrahim, Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato' Seri Zahrain Hashim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Sebelum penulis pergi jauh, penulis tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman parti sahabat. Penulis sekadar ingin memaparkan pandangan, supaya krisis-krisis ini dijadikan iktibar agar ia tidak menjejaskan aspirasi dan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat untuk jangka panjang.

Isunya di sini bukan KeADILan sahaja. Kes pelanggaran disiplin berlaku dalam semua parti politik. Sama ada Umno, PAS, KeADILan, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP, semuanya wujud pergolakan dalaman.

Krisis berlaku bukan sekadar kerana, sesebuah parti itu sudah lama berpolitik. Parti baru yang dilancarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, seperti Makkal Sakhti pun juga menunjukkan perpecahan yang serius.

Tidak lama lagi parti baru iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) juga akan mengalami krisis kepimpinan. Kita tidak perlu buat apa-apa. Hanya tunggu dan lihat sahaja.

Masalah wujud dalam sesebuah parti ada banyak sebab dan puncanya. Ia juga bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan pemimpin tertinggi menyelesaikannya.

Namun, masalah dalaman parti akan menjadi rumit apabila ada pihak yang sentiasa 'menangguk di air yang keruh', iaitu media massa pro Umno-Barisan Nasional.

Media-media ini sentiasa mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kealpaan Pakatan Rakyat. Masalah kecil akan diperbesar-besarkan. Sedangkan masalah besar dalam parti-parti komponen BN ditutup.

Salahnya bukan media. Media memang menanti dan mencari-cari isu untuk mencemarkan kredibiliti pemimpin dan parti gabungan Pakatan Rakyat.

Salahnya ialah ada segelintir anggota 'keluarga' Pakatan Rakyat yang terlalu celupar mulutnya, membawa masalah dalaman 'rumah tangga' mereka ke pengetahuan umum.

Tiap-tiap organisasi, parti, jemaah atau keluarga ada disiplinnya sendiri. Dan menjadi tanggungjawab bagi setiap anggota, mematuhi disiplin. Antara disiplin yang utama ialah menjadi anggota yang memelihara kerahsiaan sesebuah organisasi.

Apa yang berlaku hari ini amat malang. Mesyuarat tertinggi parti yang seharusnya rahsia, dibocorkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. Masalah sesama anggota keluarga dalam parti diceritakan kepada orang luar. Ketidakpuasan hati terhadap pucuk pimpinan ditulis dalam blog dan dibuat sidang akhbar.

Mereka yang mencetuskan masalah ini bukannya bodoh. Mereka adalah ahli-ahli politik yang bijak pandai dan terpelajar dalam bidang masing-masing. Ada yang peguam, jurutera, doktor, exco kerajaan, Ahli Parlimen, Adun, Ustaz, Ustazah dan ada yang bergelar dato' serta mempunyai banyak pengalaman dalam politik.

Malangnya mereka-mereka ini di sebalik segulung pengalaman, tidak kurangnya, yang mampu mengelak daripada memperjuangkan kepentingan diri sendiri, kepentingan kepuakan dan kepentingan kelompok.

Malah, yang paling susah ialah, apabila mereka-mereka ini merasakan, idea, pandangan atau pendapat mereka sahaja yang betul. Pandangan pihak lain, mahupun dari partinya sendiri atau parti rakan, semuanya tidak betul.

Akibat keras kepala mereka ini, mendorong mereka melangkaui persahabatan, melangkaui persefahaman politik dan melangkaui nilai-nilai agama, sehingga menjadi parasit dalam perjuangan.

Tanpa segan silu (kononnya atas menegakkan yang hak), mereka menghentam sesama rakan, mengkritik pemimpin tertinggi mereka secara terbuka. Malah ada parasit yang terlampau sehingga membuat laporan polis terhadap rakannya sendiri.

Tanpa mereka sedari, mereka sudah terjerumus ke perangkap musuh. Mereka ini tidak sedar dan tidak pernah serik. Mereka seolah-olah gembira apabila gambar dan berita mereka terpampang di muka hadapan akhbar milik musuh.

Akhbar yang selama ini mereka caci kerana menyiarkan berita palsu, menganiaya dan memutarbelitkan kenyataan atau berita parti-parti Pakatan Rakyat, kepada akhbar itulah mereka sandarkan, sebagai senjata untuk menembak sahabat sendiri.

Dalam akhbar pro Umno-BN dengan angkuh mereka berkata, mereka tidak akan berganjak dengan pendirian, tidak akan menarik balik kenyataan mahupun ianya melanggar disiplin parti, malah ada yang terlampau sehingga secara terbuka mengatakan mereka sanggup dipecat daripada parti.

Dalam kes spesifik seperti KeADILan ini, biarlah kebijaksanaan pucuk pimpinannya menyelesaikan masalah dalaman. 'Budak-budak nakal' ini sudah membuat bising, terpulanglah kepada mereka menyelesaikannya.

Hakikat sebenar yang berlaku ialah mereka yang menjadi parasit ini, tergolong dari kalangan mereka yang gagal memahami perjuangan.

Kes tiga Z ini (Zaid, Zahrain atau Zulkifli) kecil sahaja. Mereka bukan prime mover kepada perjuangan. Ambil sahaja kes, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzafar, Ketua Pemudanya, Ezam Mohamed Noor serta kuncu-kuncu yang lain seperti Zahid Mat Arip.

Mereka-mereka yang pernah menjadi perancang, penggerak atau dalam ertikata lain mereka mendakwa sebagai fountain head kebenaran, memperjuangkan keadilan, mengkritik kedurjanaan Umno-BN dengan lantang, semuanya sudah tersungkur, atas sebab-sebab tertentu.

Persoalan ketidakpuasanhati Zahrain terhadap Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, amat tidak diterima ramai penyokong KeADILan.
Ketidakpuasan hati ini mendorong kepada keceluparan mulut, yang akhirnya membawa fitnah dan keburukan kepada perjuangan. Memburuk-burukkan pemimpin dalam media pro Umno-BN adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut diterima sama sekali.

Penulis juga dapat fahami perbezaan antara Zaid dan Zulkifli. Kedua-duanya mewakili dua kutub yang berbeza. Akan tetapi ini tidak bermakna dua kutub atau aliran tidak boleh dalam satu perjuangan. PAS dengan DAP pun boleh berdamai, takkan dalam KeADILan tidak boleh? Apa pun akhirnya, dua kutub yang kononnya mereka wakili juga tercemar.

Jika kita mewakili grup Islam. Islam yang bagaimana? Dalam soal Islam seperti dalam isu spesifik mengenai kalimah Allah, ramai yang berpegang kepada pandangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buat apa kita hendak pakai pandangan individu yang berlagak seolah-olah lebih alim dan warak dari kedua ulama besar ini?

Jika kita ada perselisihan faham, mengapa tidak menggunakan saluran perdebatan yang betul. Mengapa harus buat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam?

Dalam Pakatan Rakyat, kita meraikan perbezaan pendapat. Namun perbuatan membuat laporan polis kepada rakan parti sahabat sudah benar-benar tergelincir dari landasan perjuangan KeADILan dan Pakatan Rakyat.

Apa pun bukan Zulkifli seorang yang melakukan kesalahan. Zaid tidak harus lupa, dalam kes Dato' Dr Jeffery Kitingan, beliau juga mengkritik Anwar dan mengingkari dasar perjuangan KeADILan. Mengapa Zaid membisu dalam kes Jeffery? Mengapa Zaid tidak menggesa Jeffery dibuang? Walhal apabila Zulkifli melakukan kesalahan yang sama, beliau menggesa Anwar membuang Zulkifli.

Kesimpulan yang dapat diringkaskan di sini, pada pandangan penulis ialah, mereka-mereka yang menimbulkan masalah ini sebenarnya gagal memahami perjuangan KeADILan dan gagal merenung secara konsisten kepimpinan Anwar.

Malah mereka ini sebenarnya semakin menghakis kepercayaan rakyat terhadap diri mereka sendiri. Jika mereka tidak memperbetulkan tindakan atau tidak berhati-hati dalam membuat kenyataan, nescaya rakyat tidak akan menerima nama mereka, untuk tersenarai sebagai calon-calon Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails