Sunday, February 14, 2010

Lima lagi MP nak keluar PKR?.. Silakan..

Ada kemungkinan angka itu boleh mencecah tujuh hingga 10 orang bagi memberi kelebihan dua pertiga kepada Barisan Nasional di Parlimen.

Beberapa orang Adun yang tidak berpuas hati kemungkinan keluar hujung bulan ini.

Tujuh Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan keluar parti merupakan mereka yang bimbang tidak akan dicalonkan semula dalam pilihan raya umum ke-13 disebabkan prestasi tidak memuaskan, atau dalam lain ayat gagal KPI..


Lima lagi MP keluar PKR?

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 14 — Lima lagi Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebut-sebut bakal keluar parti itu — sebahagian daripada tindakan wakil rakyat yang dikatakan kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya PKR sendiri.

Mereka dijangka membuat pengumuman tentang pendirian masing-masing dalam beberapa hari lagi, tindakan yang dikatakan akan menguji kepimpinan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini berhadapan dengan kes liwat buat kali kedua sejak 1998.

Kelmarin, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Hashim memutuskan untuk keluar PKR berkuat kuasa serta-merta, sekali gus bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Bayan Baru.

Beliau merupakan Ahli Parlimen PKR yang pertama berbuat demikian selepas dipilih pada 8 Mac 2008.

“Berdasarkan maklumat semasa, akan ada empat hingga lima wakil rakyat yang mahu keluar PKR, akan umumkan pendirian mereka selepas sambutan Tahun Baru Cina (yang bermula hari ini)... tunggu sidang media kedua depan,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insider.

“Ahli-ahli Parlimen melibatkan beberapa negeri termasuk Pulau Pinang,” kata sumber itu lagi. Sidang media pertama merujuk kepada pengumuman Zahrain dua hari lalu.

Kesemua wakil rakyat itu merupakan mereka tiada jawatan penting dalam parti sama ada di peringkat negeri ataupun pusat sekarang.

Kata sumber, mereka berbuat demikian atas beberapa alasan termasuk disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan dan ideologi perjuangan PKR sekarang.

Tanpa menamakan nama wakil rakyat berkenaan, sumber itu berkata, mereka akan keluar PKR untuk bertindak sebagai anggota Dewan Rakyat yang bertaraf Bebas.

“Sama ada mereka akan menyertai parti lain pada masa depan akan mereka tentukan kemudian,” katanya.

Satu lagi sumber memberitahu turut akan mengambil langkah itu ialah pemimpin kanan PKR Pulau Pinang bukan bertaraf wakil rakyat.

Pada Mac 2008, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, PAS 23 manakala DAP pula 28. Daripada 31 kerusi Parlimen dimiliki PKR, empat melibatkan Pulau Pinang.

Selain Zahrain tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

Selain nama Zahrain, Yusmadi dan Tan, turut terlibat dalam spekulasi ini sejak dua minggu yang lalu ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, Datuk Rashid Din (Merbok) dan Azan Ismail (Indera Mahkota) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) serta Loh Gwo-Burne (Kelana Jaya).

Tetapi kecuali Yusmadi semua telah menafikan desas-desus itu.

Zahrain bersama Tan telah diputuskan untuk disiasat oleh lembaga disiplin PKR. Zahrain sebelum ini menafikan akan keluar PKR tetapi berbuat demikian selepas dua minggu lalu mengecam keras Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Anwar sendiri.

Tan sebelum ini pernah memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau juga akan keluar PKR jika keadaan “mendesak”.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa tiga hingga empat Ahli Parlimen parti itu akan keluar dan sedang dipikat Barisan Nasional.

Angka itu dikatakan boleh mencecah tujuh hingga 10 orang bagi memberi kelebihan dua pertiga kepada Barisan Nasional di Parlimen.

Sumber itu juga tidak menolak beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri juga akan keluar PKR, mengikut langkah beberapa wakil rakyat yang telah berbuat demikian sebelum ini iaitu membabitkan kerusi Behrang, Changkat Jering, Lunas dan Pelabuhan Klang.

“Beberapa Adun yang tidak berpuas hati kemungkinan keluar hujung bulan ini,” katanya lagi.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh sebelum ini berkata tujuh Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan keluar parti merupakan mereka yang bimbang tidak akan dicalonkan semula dalam pilihan raya umum ke-13 disebabkan prestasi tidak memuaskan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails