Saturday, February 27, 2010

Lawan Tetap Lawan, Johor Tetap Ditawan

SEGAMAT 27 Feb - Ketua Umum KEADILAN Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian dan keyakinan beliau bahawa Pakatan Rakyat akan terus menyerang Johor walaupun negeri tersebut dicanang sebagai kubu kuat Umno-Barisan Nasional.

"Mereka kata inilah kubu kuat Umno, kubu apa? "Saya berjanji akan datang. Minggu depan saya turun ke Johor lagi, jangan main-main, saya serang Johor betul-betul," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disambut tepukan gemuruh hadirin yang hadir.
Sementara itu, beliau turut mempersoalkan tujuan kedatangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ke Washington, Amerika Syarikat 25 Februari lalu.

Datuk Seri Anwar menjelaskan kedatangan menteri tersebut adalah kerana kerajaan terdesak ekoran tekanan Amerika Syarikat agar beliau diberi keadilan sewajarnya berhubung kes Konspirasi II.

"Mereka (Umno-BN) kata Amerika campurtangan. Sekarang kenapa Nazri pergi Washington semalam? Untuk tujuan apa? Nak terang kepada orang Amerika pula?" soal beliau.

Malah kata Datuk Seri Anwar lagi Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail akan sentiasa cemas dan ketakutan untuk memberikan sebarang kenyataan berhubung kes beliau itu.

"Gani tidak akan berani mahu pergi bersidang dan bercakap dengan mereka (Amerika) mengenai kes saya. Nak cari pasal bila orang tanya dekat dia. Tergagap-gagap kalau orang Amerika tanya. Dekat sini (Malaysia) tak apa, sebab depan hakim pilihan dia," kata Ketua Pembangkang itu lagi.

Majlis ceramah turut dihangatkan lagi dengan kempen "Boikot Utusan" yang diketuai oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor Zabidie Abas bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokong yang hadir.

Langkah simbolik membakar akhbar itu adalah sebagai usaha memberi kesedaran kepada rakyat supaya tidak melanggan akhbar milik Umno itu yang sentiasa mengaburi dan membohongi rakyat dengan laporan dan berita memburukkan Datuk Seri Anwar serta Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, kempen yang sama telah dijalankan di Selangor dan Perak.

Turut hadir pada ceramah di Sekijang termasuk Datuk Chua Jui Meng, Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamarudin, Ketua AMK Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor Annuar Salleh.

Datuk Seri Anwar juga sempat beramah mesra serta menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat Johor di Segamat.


Suara-Keadilan.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails