Sunday, February 28, 2010

Klinik 1Malaysia, Klinik haram?

ALOR SETAR - Klinik 1Malaysia didakwa beroperasi secara haram kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, terutama dari aspek pentadbiran.

Exco Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan negeri, Dr Ismail Salleh berkata, untuk membuka dan menjalankan operasi klinik di negara ini, permohonan oleh doktor bertauliah yang mempunyai Sijil Amalan Tahunan (APC) sahaja yang diluluskan Kementerian Kesihatan.

“Ini bermakna hanya doktor yang memiliki APC sahaja yang boleh dan berhak membuka dan menjalankan operasi klinik. Namun kerajaan masih boleh membuka klinik 1Malaysia seperti yang ada sekarang, tanpa dikendalikan oleh doktor bertauliah tetapi pentadbirannya mestilah di bawah Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.

Dr Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu berkata, disebabkan kedua-dua kriteria itu tidak dipenuhi oleh Kementerian Kesihatan, ini menjadikan Klinik 1Malaysia adalah haram dari segi pentadbirannya.

“Saya berani mengatakan dari segi pentadbiran, Klinik 1Malaysia adalah haram dan tidak mengikut peraturan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, tiada apa boleh dibanggakan dengan penubuhan Klinik 1Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah beroperasi di hampir setiap negeri.

“Apa yang nak dibanggakan jika hanya perlu membayar RM1 tetapi tidak dapat memberi perkhidmatan menyeluruh, terutama penyakit kronik yang memerlukan pembiayaan besar. Maknanya tidak juga dapat membantu golongan berpendapatan rendah. Oleh itu, tiada apa boleh dibanggakan dengan Klinik 1Malaysia yang menghabiskan peruntukan RM10 juta,” katanya.

Dr Ismail berkata, Klinik 1Malaysia hanyalah boneka Najib untuk menjuarai rakyat selain berperanan sebagai agenda politik.

Menurutnya, sebelum wujud Klinik 1Malaysia, telah lama wujud Klinik 1Alor Mengkudu yang rawatannya setaraf klinik swasta untuk penduduk setempat.

“Saya telah lama memberi khidmat perubatan terutama kepada warga DUN Alor Mengkudu. Setiap Khamis, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Alor Mengkudu akan menjadi klinik 1Alor Mengkudu yang memberi rawatan sebagaimana di klinik swasta,” katanya.

Terdapat dua buah klinik 1Malaysia di Kedah, iaitu di Taman Kota Kenari, Kulim dan Bandar Puteri Jaya, Kuala Muda.


Sinar Hairan

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails