Friday, February 26, 2010

Kenapa Melayu juga meninggalkan Tanah Melayu?

Ada sesuatu yang tidak kena dengan bumi yang dikenali sebagai Tanah Melayu apabila orang Melayu sendiri mula meninggalkan Tanah Melayu....


Ku Li: ‘Sebab orang Melayu kecewa, tinggalkan Tanah Melayu’

Oleh Neville Spykerman

KUALA LUMPUR, 26 Feb — Pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), kini menjadi tumpuan dalam arena politik tempatan khususnya di kalangan orang Umno ekoran pendiriannya dalam isu royalti kepada Kelantan, melahirkan kebimbangan beliau dengan perasaan kecewa orang-orang Melayu, malah ada yang mengambil keputusan keluar negara.

“Ada sesuatu yang tidak kena dengan bumi yang dikenali sebagai Tanah Melayu apabila mereka (orang Melayu) mula meninggalkan (negara),” kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Dengan memberikan contoh-contoh khususnya, Ahli Parlimen Gua Musang ini berkata, khususnya golongan generasi muda juga merasakan tidak senang dengan perkembangan dalam negara.

“Ada orang Melayu di London yang profesional, memperolehi pendapatan yang baik, yang tidak akan kembali kerana persekitaran tidak sesuai di Malaysia,” katanya.

Malah menurut beliau publisiti negatif yang dijana ekoran hukuman sebatan terhadap tiga wanita Islam baru-baru dan isu kontroversi berkisar kalimah “Allah” juga tidak akan membantu negara.

Walaupun hukuman merotan selaras dengan undang-undang syariah, Tengku Razaleigh berkata pendekatan itu membawa impak negatif kepada negara apabila ia menjadi tajuk utama media di seluruh dunia atas sebab-sebab yang tidak wajar.

“Pelabur-pelabur dan pelancong tertanya-tanya apa yang berlaku di Malaysia, ketika kita memerlukan pelaburan, modal dan pekerjaan bagi golongan muda yang terus merasakan ia sesuatu yang sukar.” katanya.

Bekas Naib Presiden Umno ini memberitahu, bukan Islam pula ditangkap kerana berpegangan tangan di khalayak ramai, malah beliau merujuk kepada satu kes di mana pihak berkuasa agama menceroboh bilik hotel dihuni warga asing beberapa tahun lalu.

Malah beliau juga risau dengan hubungan kaum yang semakin buruk disebabkan dasar pecah belah.

Kata beliau, kerajaan boleh mangadakan sebanyak mungkin rumah terbuka tetapi hakikatnya tiada elemen “kemesraan”.

“Sudah tentu orang akan datang jika adanya hidangan makanan percuma tetapi ia bukan sesuatu yang tulen,” kata Tengku Razaleigh, anggota kerabat diraja Kelantan.

Beliau menambah walaupun ada jaminan bahawa kadar jenayah semakin menurun rakyat masih belum merasakan keselamatan mereka terjamin.

“Malah isteri saya takut untuk keluar. Mengapa kita harus takut di negara kita sendiri?” katanya.

Tengku Razaleigh membidas amalan rasuah sambil mengutarakan bagaimana enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia boleh “hlang” dan kemudian dijual ke negara lain dan insiden kapal selam yang menelan berbilion ringgit tidak boleh beroperasi dengan baik.

“Sekarang ia boleh menyelam. Kita tidak pasti sama ada ia boleh muncul semula,” kata beliau sambil menambah, ia kelihatan seperti gurau senda tetapi sebenarnya sesuatu yang membimbangkan.

Sehubungan itu kata beliau amalan rasuah turut menyebabkan dadah boleh dibawa masuk dengan mudah ke negara ini.

“Malaysia hanya pasaran kecil berbanding dengan New York tetapi disebabkan ada yang rasuah mereka membenarkan dadah menyalur masuk,” kata beliau sambil menambah ia merosakkan minda golongan muda dan meragut banyak nyawa.

“Ini tanda-tanda kemerosotan yang tidak kita alami sebelum ini,” jelas beliau.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails