Monday, February 8, 2010

Karpal mohon hakim dilucut, kes liwat Anwar ditangguh

KUALA LUMPUR, Feb 8 – Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga esok selepas peguamnya memohon agar Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohamad Diah yang mendengar kes ini dilucutkan kelayakan kerana tidak berpuas hati dengan cara mahkamah menguruskan bantahan berhubung liputan Utusan Malaysia.

Peguam utama pasukan Anwar, Karpal Singh mengemukakan permohonan di peringkat awal prosiding hari keempat perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu pagi ini.

Dalam mengemukakan permohonannya Karpal berkata, keputusan mereka itu berdasarkan rasa tidak puas hati terhadap cara hakim mengendalikan permintaan agar mengambil tindakan menghina mahkamah ke atas akhbar berkenaan.

Menurut Karpal, cara hakim mengendalikan permintaan berhubung tindakan akhbar itu “membawa elemen bahaya di pihak hakim yang arif.”

Karpal telah membangkitkan corak liputan Utusan Malaysia pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, Karpal memohon mahkamah supaya mengeluarkan amaran kepada Utusan Malaysia berhubung gambar yang disiarkan oleh akhbar itu hari ini dengan keterangan gambar “Saiful menunjukkan katil tempat diliwat oleh Anwar Ibrahim kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah”.

“Bagaimanakah maklumat ini boleh bocor. Begitu juga dalam Sinar Harian,” kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata: “Saya percaya ada jurugambar yang masuk ketika prosiding melawat di tempat kejadian di kondominium itu, tetapi apa yang dipersetujui, apa yang diberitahu oleh saksi pendakwa pertama (Saiful) telah tiada bantahan.”

Karpal berkata akhbar berkenaan menggunakan perkataan “katil” dan bukan “tempat” dan itu bukanlah apa yang berlaku semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim Mohamad Zabidin berkata mahkamah tidak nampak sebarang tindakan menghina mahkamah berhubung laporan Utusan Malaysia dan Sinar Harian itu memandangkan perkataan “katil” telah pun disebut semasa prosiding mahkamah terbuka.

Sehari sebelum itu, pasukan pembelaan Anwar juga mahu agar Utusan Malaysia dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung laporan akhbar itu pada hari Khamis mengenai perbicaraan kes liwat melibatkan ketua pembangkang itu.

Karpal berkata mahkamah perlu bertindak dan merujuk akhbar itu dengan kesalahan menghina mahkamah walaupun ia berlaku di luar mahkamah.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails