Wednesday, February 17, 2010

Ini memang kerja Zulkifli!

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali membidas ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Zulkifli Noordin ekoran dakwaan terbarunya, bahawa terdapat 'komplot' bagi menyingkirkannya dalam parti itu.

“Beliau tidak minta tunda (tarikh) pun. Terus saja hendak buat sidang akhbar. Ini memang kerja dialah,” kata Syed Husin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Zulkifli yang mempersoalkan tindakan lembaga disiplin bersidang esok atau 23 Februari bagi mempertimbangkan kesnya, sedangkan beliau pada waktu itu perlu menghadiri program parti di luar negara.

Dalam sidang media di ibu negara semalam, Zulkifli berkata, beliau berharap tindakan lembaga tersebut tidak bertujuan menghalangnya daripada menghadiri prosiding tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Husin berkata, tindakan kontroversi Zulkifli semalam akan turut dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam ini.

“Kita akan jawab semua ini esok, sebab malam ini ada mesyuarat mingguan biro politik. Kita akan bincang semua (perkara) ini.

“Bukan (semata-mata) hal Zulkifli seorang tetapi banyak hal lain juga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Jonson Chong juga, ketika dihubungi, menafikan terdapatnya usaha menyingkirkan Zulkifli secara senyap dalam parti.

“Tiada perkara seperti itu,” katanya tegas.

“Kalau kita hendak buang beliau, kita boleh buat semua itu. Ini bukan permainan kanak-kanak. Ini perkara yang serius.

“Kita mahu beri peluang kepada beliau membela diri. Kalau hendak gantung beliau boleh, tetapi kita tidak buat perkara sebegitu,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas panjang perkara itu ketika dihubungi kerana sedang memandu.

Pada 26 Januari lalu, biro politik PKR memutuskan mengheret Zulkifli kepada lembaga disiplin parti kerana membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS Khalid Samad berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, lembaga tersebut diminta bersidang dalam tempoh tidak melebihi satu bulan bagi mengkaji, menyiasat aduan dan mendengar penjelasan Zulkifli.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan lanjut Saifuddin setakat ini bagaimanapun belum berhasil.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails