Thursday, February 25, 2010

Hebat! 10 minit saja untuk curi enjin jet tu..



Oleh Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR 25 Feb - Hanya kira-kira lima hingga 10 minit sahaja diperlukan untuk mengangkat dan memindahkan enjin jet tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia ke dalam kenderaan khas untuk dibawa keluar daripada pangkalan.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw selepas lawatannya ke Gudang Material Udara 1 (Matra 1) Kuala Lumpur pagi semalam.

Dalam lawatannya selama kira-kira tiga jam bermula pada pukul 9.30 pagi Dr Tan dan ahli PAC bersama beberapa pegawai tertinggi TUDM meninjau lokasi gudang tersebut dan melihat demonstarasi khas tentang proses pemindahan jet enjin pesawat ke dalam kontena khas.

Bercakap kepada pemberita di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen selepas lawatan itu Dr Tan berkata setelah meneliti cara pemindahan tersebut, masa yang diperlukan hanya kira-kira lima hingga 10 minit untuk mengangkat dan memindahkannya ke dalam kenderaan khas yang berupa kontena sebelum melepasi kawalan di pondok keselamatan.

Beliau berkata jika mengikut prosedur yang ditetapkan adalah sesuatu yang mustahil jika enjin ini dicuri tanpa melepasi kawalan keselamatan.

Ini kerana sebarang komponen yang dikeluarkan harus mempunyai tiket, nota serahan (consignment note), pas kawalan (gate pass) serta melalui beberapa prosedur yang merumitkan.

"Jika wujud ciri sistem kawalan yang ketat bagaimana enjin seberat 1 tan (8,000 kg berat enjin dan 2,000 kg berat "casing") ini boleh dibawa keluar dan dianggap hilang.

"Jelas wujud ada penglibatan orang luar dan orang dalam yang menjadi tangan ghaib dalam kes ini," kata Ahli Parlimen Kepong itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kecurian enjin jet ini terjadi ketika tempoh peralihan untuk menyelaraskan keseluruhan sistem komputer di gudang tersebut sekitar tahun 2007-2008.

"Dari 2007 hingga 2008, sistem komputer mengalami tempoh peralihan dan pada masa itu sekumpulan individu mengambil kesempatan untuk mencuri enjin tersebut," katanya.

Berdasarkan pemerhatian dan penerangan daripada lawatan tersebut, Dr Tan berkata, beliau akan mengemukakan laporan hasil siasatan penuh sebelum akhir Mac dan turut mempertimbangkan untuk menjadikannya sebagai bukti kes mahkamah.

Terdahulu, dua enjin itu dilaporkan hilang pada 2007 ketika dibawa keluar dari Pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth, Pulau Pinang untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Bagaimanapun kehilangan enjin jet itu hanya disedari oleh tentera pada 22 Mei 2008, diikuti siasatan segera sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.

Enjin jet pejuang itu dipercayai dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Amerika Selatan.


Suara-Keadilan.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails