Friday, February 26, 2010

Hak Melayu Terhakis?

Benarkah hak Melayu dicabar dan terhakis? Hak yang mana? Oleh siapa dan bagaimana ia berlaku, jika ianya berlaku?

Atau adakah semua ini dongeng orang politik yang mahu memperalatkan orang Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka? Ketuanan Melayu



FEB 26 — Isu yang sering diperkatakan, terutamanya, sejak Mac 2008 adalah hakisan dan cabaran terhadap “hak Melayu”. Cabaran serta hakisan terhadap “hak melayu” ini ditonjolkan sebagai datang daripada kumpulan bukan Melayu dan yang seangkatannya iaitu “Melayu liberal”.

Benarkah hak Melayu dicabar dan terhakis? Hak yang mana? Oleh siapa dan bagaimana ia berlaku, jika ianya berlaku?

Atau adakah semua ini dongeng orang politik yang mahu memperalatkan orang Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka? Ketuanan Melayu

Konsep “ketuanan Melayu” hari ini sudah menjadi celaru dengan pelbagai takrif dan fahaman oleh pelbagai pihak. Pada amnya, yang dimaksudkan ialah dominasi orang Melayu di dalam medan politik.

Kalau dominasi orang Melayu dalam politik yang dimaksudkan sebagai “ketuanan Melayu”, ia bukan sahaja TIDAK terhakis, tetapi menjadi lebih kuat. Dalam tahun 2009, jumlah penduduk diMalaysia dianggarkan seramai 28.3 juta. Hakikatnya ialah orang Melayu menjadi majoriti Negara ini dan dianggarkan akan menjadi hampir 66 peratus dalam 10 tahun nanti. Kalau di masukkan sekali bumiputera, kemungkinan angkanya ialah hampir 70 peratus. Melayu campur bumiputera memang majoriti. Apa implikasinya?

Pertamanya ialah, merekalah yang akan menjadi penentu utama dalam menentukan budaya politik serta halatuju politik dalam Negara ini. Perkara ini jelas sejak Merdeka di mana di dalam Alliance Party dan kemudiannya Barisan Nasional, di mana parti politik dominan ialah Umno — iaitu parti Melayu. Parti politik yang kedua terbesar yang menjadi Pembangkang juga didominasi oleh Melayu dengan PAS.

Pemain utama di dalam politik nasional sentiasa orang Melayu dan dari perspektif ini, ungkapan ketuanan Melayu ialah satu slogan kosong orang politik untuk memperalatkan orang Melayu.

The main players in national politics have always been Malays and hence, from this perspective, the issue of ketuanan Melayu is a mere slogan, a tool for the politicians to manipulate the Malays.

Begitu juga kalau kita lihat sejak penubuhan Umno baru dan Semangat 46, politik orang Melayu semakin matang di mana mereka sudah berani untuk mengasingkan diri daripada Umno. Saya katakan matang kerana di dalam arena politik, orang Melayu sudah berani untuk mencuba pendekatan selain daripada pendekatan Umno (pertamanya ialah dengan dengan penubuhan PAS).

Hari ini, kita lihat orang-orang Melayu berada di dalam hampir semua parti-parti politik? Umno, PAS, DAP, PKR dan lain-lain. Orang Melayu seolah-olah “tuan” atau pemimpin di dalam arena politik. Zaman di mana orang Melayu hanya bergantung kepada Umno sudah berlalu. Di dalam politik, orang-orang Melayu mempunyai kepelbagaian pandangan dan kaedah untuk berkhidmat kepada Negara atau memperjuangkan suatu isu. Saya percaya trend ini akan meningkat. Maka isu “ketuanan Melayu” dalam konteks ini tidak berasas dan sudah tidak lagi relevan kerana sememangnya orang Melayulah yang mendominasi arena politik dan akan terus mendominasi arena politik. Realiti terpaksa diakur

Saya percaya orang bukan Melayu juga telah menerima hakikat ini (realiti terpaksa diakur) dan kita akan sampai pada satu keadaan di mana mereka akan melihat kepada parti-parti politik yang boleh bersikap adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tanpa melihat kepada keturunan atau darjat.

Begitu juga dengan orang Melayu sendiri. Mereka telah lihat apa yang berlaku didalam Negara ini sejak merdeka — 52 tahun! Siapa yang telah kaya-raya, siapa yang masih miskin, kawasan mana yang dibangunkan, kawasan mana yang masih mundur, siapa yang rasuah, siapa yang menindas dan sebagainya, jelas dilihat.

Saya juga percaya ramai orang-orang Melayu yang miskin tidak percaya bahawa kemiskinan mereka adalah akibat “perampasan” kedudukan “tuan” mereka oleh orang bukan Melayu. Mereka masih miskin kerana kegagalan polisi untuk menangani kemisikinan. Begitu juga dengan Melayu yang berada didalam tahap pendapatan rendah mahupun kelas menengah yang mengempas pulas mencari rezeki. Mereka sedar bahawa peluang mencari rezeki yang semakin sempit bukan ekoran orang bukan Melayu yang merancang untuk merampas hak pekerjaan mereka. Ia adalah ekoran polisi ekonomi yang tidak mantap, tidak menyeluruh serta tidak bersifat jangka panjang.

Saya tertarik dengan Kota Baru di mana terdapat banyak kedai-kedai rakyat tempatan yang berniaga. Ekonomi tempatan masih tidak dirogol oleh multi-national corporationsseperti Tesco, Jusco, Ikea dan sebagainya. Oleh yang demikian, rakyat tempatan Kelantan masih boleh mencari rezeki secara terhormat, serta industri tempatan boleh berkembang. Kebajikan rakyat tempatan didahulukan dan bukannya “keuntugan tersembunyi” oleh pihak memberi kelulusan, yang juga terdiri daripada orang Melayu elitis.

Di dalam perhimpunan mengenai “ketuanan Melayu” yang pernah dan akan dianjurkan oleh pihak politik (ada yang berselindung disebalik NGO), berapa ramai di antara lebih kurang 14,000,000 Melayu di Malaysia ini yang hadir dan mengambil bahagian? 20,000? 10,000? 5,000? Kalau 30,000 pun itu baru merupakan 0.2 peratus jumlah penduduk Melayu! Kalau 100,000 pun, itu baru 0.7 peratus daripada jumlah penduduk Melayu di Negara ini. Inilah permainan politik licik dimana “orang Melayu” diperalatkan oleh politikus Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka atau mengalihkan perhatian dari isu-isu sebenar yang dihadapi oleh semua Rakyat, termasuk orang Melayu.

Inilah keadaan sebenarnya dan beberapa kerat di dalam arena politik dan beberapa kerat orang di Bandar terperangkap dengan politik permainan ini. Tujuannya hanyalah politik dan tidak berkaitan dengan kebajikan orang Melayu amnya.

Salam.


Jahaberdeen Mohamed Yunoos (loyarburok.com)

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails