Tuesday, February 23, 2010

EKONOMI Negara belum PULIH - Zahid Hamidi.

Semalam 22 Feb. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam sidang media berasingan menyatakan, kononnya Malaysia telah pulih daripada kemelesetan global berikutan prestasi suku keempat 2009 lebih baik daripada jangkaan.

Mereka dilihat cuba memberi gambaran positif kepada rakyat mengenai situasi ekonomi negara yang bertujuan meraih sokongan rakyat yang sekian lama terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan.

Dan hari ini 23 Feb dalam jarak masa yang kurang dari 24 jam di Kuantan, Bernama telah melaporkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkhidmatan pesawat pemintas MiG-29N akan diteruskan seperti biasa bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi selepas cadangan awal menamatkan perkhidmatannya tahun ini dibatalkan.

Menurut Zahid lagi kerajaan menimbang untuk mengekalkan perkhidmatan pesawat pejuang itu atas beberapa faktor selain dari mengambil kira saranan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya agar pesawat MiG-29N terus digunakan, antara faktor lain ialah keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya..

Diulang.. BELUM PULIH SEPENUHNYA kata Zahid Hamidi.


Apa cerita ni?? Najib kata ekonomi Negara telah pulih dari kemelesetan Global, Zahid pula berkata ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya oleh sebab itu kerajaan akan terus menggunakan MiG-29N itu.

Yang aku faham TELAH PULIH itu tidak membawa maksud BELUM PULIH SEPENUHNYA dan BELUM PULIH SEPENUHNYA itu bukanlah bermakna TELAH PULIH .. Betul tak apa yang aku faham tu?

Alahai... Najib nak berbohong kepada Rakyat tu bawa lah berbincang dengan semua Menteri Kabinet yang ada tu, biar selari sikit jawapannya.. ini tidak, seorang kata telah pulih seorang lagi kata belum pulih..

Siapa yang berbohong disini Najib atau Zahid? Tak apa kita anggaplah Bernama cuba memutarbelitkan kenyataan Zahid itu.





Perkhidmatan Pesawat MIG-29N Akan Diteruskan - Ahmad Zahid

KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan pesawat pemintas MiG-29N akan diteruskan seperti biasa bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun lagi selepas cadangan awal menamatkan perkhidmatannya tahun ini dibatalkan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan menimbang untuk mengekalkan perkhidmatan pesawat pejuang itu atas beberapa faktor, antara lain keadaan ekonomi negara yang belum pulih sepenuhnya.

Sebelum ini, kerajaan merancang untuk melupuskan pesawat buatan Russia itu dengan menjual kepada negara ketiga dan menggantikannya dengan pesawat jenis jet pejuang pelbagai fungsi (MRCA).

"Walaupun kita berhasrat untuk mendapatkan pesawat MRCA, tetapi keadaan ekonomi negara belum mengizinkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, pada Selasa.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata kementeriannya turut mengambil kira saranan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya agar pesawat MiG-29N terus digunakan.

Oleh itu, katanya, kemampuan peralatan dalam pesawat berkenaan akan dipertingkatkan mengikut keperluan semasa dengan Aerospace Technique System Corporation Sdn Bhd (ATSC) diberikan tugas melakukan baikpulih dan rombak rawat (MRO).

Katanya, kerajaan sebelum ini dijangka dapat menjimatkan RM260 juta setahun hasil daripada penamatan perkhidmatan pesawat itu pada 31 Dis tahun ini.

Sementara itu, Panglima TUDM, Jen Datuk Seri Rodzali Daud berkata walaupun perkhidmatan pesawat itu akan diteruskan tetapi ia hanya melibatkan 10 pesawat daripada 16 keseluruhannya.

"Bukan semua akan diterbangkan semula, sesetengah daripadanya telahpun dilucutkan tauliah," katanya.

Sempena lawatan itu, Ahmad Zahid membuat tinjauan udara selama 45 minit dari Kuantan ke Dungun, Terengganu, dengan menaiki pesawat jenis BAE Hawk 108 yang dipandu oleh juruterbang Kol. Azhari Mohd Yusof dengan diiringi sebuah lagi pesawat sama dan dua pesawat MiG-29N.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails