Monday, February 8, 2010

Diktator, cauvinis dan berfikiran komunis

Mungkin kerana warna kulitnya, agamanya, bahasa ibundanya dan ketegasannya untuk membasmi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, Lim Guan Eng menjadi mangsa kecaman dan ancaman hebat dari kumpulan-kumpulan yang mengaku wira Melayu. Lebih teruk lagi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menjadi sasaran segelintir pemimpin politik parti komponen Pakatan Rakyat.

Tuduhan yang paling berat terhadapnya ditujukan dari seorang “sahabat” Parti Keadilan Rakyat yang mendakwa dakwaan Guan Eng adalah “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis”. Tetapi benarkah Guan Eng seorang pemimpin yang begitu kejam dan zalim sekali?

Dalam wawancara Guan Eng bersama Harakah baru-baru ini, beliau berkongsi pandangan tentang usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjadikan rakyat negeri berdaya saing, dengan mengemukakan contoh perubahan sikap masyarakat di negara komunis China:

“Dulu di negeri China pada tahun 60-an dan 70-an, ekonominya begitu mundur sekali. Rakyat hidup merana tanpa bantuan. Malah ekonomi China dianggap sebagai pesakit Asia. Kenapa? Kerana dasar kerajaan komunis tak boleh jalan. Dasar di mana semua akan makan satu mangkuk nasi. Tak kira kerja kuat atau tak kerja, semua akan dapat satu mangkuk nasi. Yang kerja lapan jam, dapat satu mangkuk. Yang kerja lapan minit pun satu mangkuk. Siapa nak bertungkus lumus? Siapa nak kerja rajin dan tekun? Sebab itu orang China waktu itu malas berkerja. Adakah malas kerana mereka sendiri malas? Bukan. Tapi kerana dasar subsidi membuatkan mereka malas. Tapi kita bukan buat dengan serentaklah. Tapi kita mesti ada dasar baik supaya mereka dapat berdaya saing. Bila mereka ikut dasar yang maju, menggalakkan mereka berdaya saing, saya rasa itu adalah sesuatu yang paling baik untuk orang Melayu dan juga negara Malaysia.

“Kita tengok China, selepas dasar diubah mereka terus menjadi maju. Daripada malas mereka manjadi rajin kerana dasar galakkan, kalau sesiapa tak kerja, dia akan lapar. Kalau kerja, baru boleh kenyang. Jadi semua akan kerja. Sama dengan di sini, kena kerja, bukan kita bagi wang sahaja. Kalau kita bagi wang kepada orang muda, mereka guna beli motosikal, jadi mat rempit. Tapi bila mereka kerja dan dapat duit, mereka akan menghargainya. Saya rasa itu yang lebih penting.”

Nampaknya seorang pemimpin yang dituduh “berfikiran komunis” telah menolak sistem komunis yang dilihatnya sebagai punca rakyat menjadi malas dan ekonomi negara hancur.

Sekarang, tuduhan yang mengatakan Guan Eng “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis” yang dilemparkan oleh seorang pemimpin PKR itu kini menjadi slogan dan kain rentang kumpulan-kumpulan pro-Umno untuk mengecam dan memaki-hamun Setiausaha Agung DAP berkenaan.

Baru-baru ini, kumpulan-kumpulan berkenaan telah mengadakan tunjuk perasaan dengan membakar patung Guan Eng di khalayak ramai dan berarak merempuh masuk bangunan Komtar yang menempatkan pejabat Keua Menteri Pulau Pinang, tanpa diganggu atau disekat oleh pihak polis.

Kumpulan-kumpulan ini marah dengan Guan Eng kerana dikatakan menindas orang Melayu berikutan langkah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap penjaja dan gerai yang tidak berlesen serta mengganggu kawasan awam. Walau pun kerajaan negeri telah menjelaskan bahawa tindakan dilakukan kerana pelanggaran undang-undang dan bukannya atas dasar warna kulit, kumpulan-kumpulan itu tetap memekik “Lim Guan Eng diktator rasis”.

Perangkaan yang didedahkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang secara amnya menunjukkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengenakan tindakan terhadap 1,727 penjaja Cina, 815 penjaja Melayu dan 247 penjaja India kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen pada tahun lalu. Pada tahun 2008, 1,082 penjaja Cina, 785 penjaja Melayu dan 196 penjaja India dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama.

Yang dihebohkan sebagai kezaliman kerajaan negeri pula ialah isu perobohan gerai di dareah Timur Laut Pulau Pinang. Sembilan gerai peniaga Melayu diroboh manakala masing-masing lima dan tiga gerai milik peniaga Cina dan India (serta enam yang tidak diketahui kaum) menerima nasib yang sama sejak tahun 2008. Apa yang tidak diceritakan ialah hampir semua gerai yang dirobohkan itu sudah ditawarkan tapak alternatif yang berdekatan. Ada yang menerima tawaran, ada pula yang menolak tawaran.

Bagi daerah Barat Daya negeri pula, tidak ada satu pun tindakan dikenakan terhadap peniaga Melayu manakala lima bangsal milik peniaga Cina dan dua India dirobohkan, termasuk yang dirobohkan sendiri oleh pemilik setelah mendapat notis.

Bagi gerai-gerai lain pula, tindakan mengubah kerusi dan meja serta perkakas diambil kerana menghalang laluan dan lalu lintas di kawasan awam dan kaki lima. Sejak dua tahun lalu, 88 peniaga Melayu dikenakan tindakan itu. Sebelum tahun 2008, iaitu pada 2006 – 2007, 212 peniaga Melayu dikenakan tindakan atas kesalahan yang sama oleh kerajaan negeri Barisan Nasional.

Berhubung kesalahan di bawah akta yang membabitkan jalan, parit dan bangunan, 56 peniaga dan penjaja Cina dikenakan tindakan berbanding 10 penjaja Melayu dan enam penjaja India.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas Negeri Chow Kon Yeow, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang dan bukannya atas pertimbangan kaum. “Tidak ada kaum yang menikmati imuniti daripada tindakan penguatkuasaan.”

Nampaknya Guan Eng yang dituduh “cauvinis” telah tidak mempedulikan kaum Cina dalam soal menguatkuasakan undang-undang kerana pihak kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap peniaga Cina yang melanggar undang-undang bersama-sama dengan peniaga kaum lain.

Penulis veteran Mohd Sayuti Omar turut mengulas isu yang sama dalam blognya:

“Saya nak tanya sekalian orang yang mendesak Guan Eng dan mengkritik beliau. Apakah benar Guan Eng bersikap kurang ajar dan tidak membela nasib Melayu? Saya rasa bukan saja saya, tetapi orang lain juga mahu melihat bukti-bukti apa yang dikatakan itu. Elok senaraikan apakah bentuk pengabaian terhadap orang Melayu dan jangan hanya tahu menuduh dan melolong mengatakan DAP mengabaikan Melayu.

“Kita tahun DAP memerintah Pulau Pinang belum sampai tiga tahun. Sebelum ini negeri itu diperintah orang Cina menerusi parti Gerakan. Apakah selama 35 tahun lalu nasib Pulau Pinang terbela? Dan apakah pengabaian dan pilih kasih oleh Gerakan boleh dimaafi dan diamkan saja?

“Kalau boleh untuk bersikap adil, NGO yang membantah Guan Eng kemukakan statistik mengenai kedudukan orang Melayu Pulang Pinang baik dalam pemilikan hartanah, pendapatan, pengangguran dan sebagainya. Bandingkan juga kehidupan orang Melayu semasa 35 tahun Gerakan memerintah dengan DAP yang baru dua tiga tahun ini.”

Persoalan yang ditimbulkan oleh Mohd Sayuti memang tidak mendapat perhatian media arus perdana. Dengan itu, masih ada yang percaya bulat-bulat dengan isu yang dibesar-besarkan, malah ada yang bersifat fitnah semata-mata.

Apabila Guan Eng dituduh “diktator”, ia lebih mirip kepada soal persepsi dan pandangan peribadi. Hampir semua pemimpin politik ditohmah dengan gelaran itu; biasanya apabila seseorang pemimpin menolak pandangan yang dikemukakan.

Namun jika dikaitkan dengan isu-isu semasa, tuduhan “diktator” berkait rapat dengan isu segelintir ahli politik “sahabat” Pakatan Rakyat yang gagal mendapat “habuan”. Mungkin mereka ini masih gagal memahami dan menghayati urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) yang dibawakan oleh kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Mungkin mereka masih mahu mengamalkan sistem kabel politik dan kronisme yang diamalkan sebelum ini.

Pada masa yang sama, Guan Eng juga perlu lebih mendekati suara hati rakyat dengan mendengar pandangan dan pendapat rakyat prihatin yang benar-benar mahu membangunkan negeri serta membantu golongan daif. Bagi orang politik, memang mudah untuk bercakap tetapi agak sukar bagi mereka untuk meluangkan masa mendengar cadangan, pandangan dan rayuan.

Melaksanakan apa yang dikatakan itu perlukan dilakukan secara berhemah dan penuh kebijakan. sebagaimana yang Guan Eng sendiri ujarkan, “saya yakin kalau sesebuah kerajaan itu baik, itu adalah kerana kerajaan itu berani dan percaya dengan rakyat. Kalau kerajaan itu buruk, jangan persalahkan rakyat kerana rakyat tidak jahat”.

Dengan itu, ramai akan menerima bahawa tohmahan “diktator, cauvinis dan berfikiran komunis” itu hanya cacian murahan yang dilafazkan dari mereka yang takut untuk menerima amalan keadilan, peluang saksama dan keterbukaan. Yang penting, rakyat mahu melihat Guan Eng melaksanakan amalan 5K yang dicanangkannya - kebenaran, kebebasan, keadilan, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan.

Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails