Monday, February 22, 2010

Demo di Komtar : Baru nak ambil keterangan?

Pada 6 Feb yang lalu,30 badan bukan kerajaan Melayu yang dikenali sebagai “Gabungan Sedaq” telah mengadakan Demonstrasi di Komtar..

Dan hari ini selepas hampir 2 minggu berlalu pihak Polis baru ambil keterangan... ambil keterangan saja tu, pasal boleh jadi Demo tu ada permit.

Kalau Demo Pakatan Rakyat.. Hari ini Demo, malam nanti tidur di dalam lokap.. nak pilih bulu pun janga lah nampak jelas sangat...





Demo di Komtar: Polis ambil keterangan YDP DPMM Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, Feb 22 — Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP) Rizal Faris Mohideen memberi keterangan kepada polis berhubung demonstrasi 30 badan bukan kerajaan Melayu yang dikenali sebagai “Gabungan Sedaq” di Komtar, 6 Feb lalu.

Rizal diambil keterangan kira-kira dua jam sejak 1 tengah hari tadi di Balai Polis Jalan Pattani, Pulau Pinang.

“Keterangan hari ini lebih kepada isu demonstrasi, bukan berkaitan dengan aduan yang dibuat oleh Datuk Abdul Rahim Bakar (Setiausaha Agung DPMM),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata beliau, pihaknya berhimpun untuk menjelaskan pendirian dan perasaan orang-orang Melayu agar tidak dipinggirkan dalam proses pembangunan di bawah kerajaan negeri.

“Saya memberitahu bahawa kami hanya meminta kerajaan membuka mata dan hati mendengar suara kami,” katanya.

Kumpulan pertubuhan bukan kerajaan itu telah mengadakan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri bagi menyampaikan rasa kurang senang terhadap layanan yang diberikan kepada peniaga-peniaga Melayu.

Perhimpunan yang diketuai Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali itu turut disertai DPMMPP.

Mereka juga membakar memorandum yang sepatutnya diserahkan kepada Ketua Menteri.

“Saya difahamkan polis akan memanggil semua yang memberikan ceramah pada hari itu... saya tidak pasti berapa orang yang memberikan keterangan hari ini, tetapi 10 orang memberikan ceramah pada hari berkenaan,” katanya.

Beberapa hari susulan demonstrasi itu kerajaan negeri telah membuat laporan polis terhadap DPMMPP tuduhan membuat kenyataan palsu mengenai kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo yang mewakili kerajaan negeri berkata DPMMPP menuduh kerajaan negeri mengamalkan diskriminasi dengan menganiaya peniaga-peniaga Melayu.

Beliau meminta polis untuk menyiasat sama ada kenyataan yang dikemukakan DPMMPP sebelum ini merupakan kenyataan palsu atau fitnah jenayah terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Selain kes itu, The Malaysian Insider difahamkan Rizal juga mungkin akan dipanggil polis ekoran aduan bahawa beliau mengeluarkan kata-kata memprovokasi terhadap Abdul Rahim selepas setiausaha agung itu mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 10 Feb lalu.

Rizal telah pun menafikannya sambil mendakwa Abdul Rahim yang memulakan kenyataan-kenyataan berbentuk memprovokasi terhadapnya ketika bersemuka dengan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

Abdul Rahim bersama beberapa wakil DPMM telah mengadakan pertemuan dengan Lim untuk membincang dan menyelesaikan kemelut peniaga Melayu negeri itu yang mendakwa dianiaya berikutan premis perniagaan mereka dirobohkan.

Abdul Rahim membuat laporan polis pada Feb 12 selepas pulang ke Kuala Lumpur.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails