Monday, February 1, 2010

Dato Zahrain! Hang sorang saja.. kami tak terlibat.

Semalam Dato Zahrin yang melahirkan kesedihannya telah berkata “Saya cuma menyampaikan perasaan ahli-ahli parti (mengenai Guan Eng) ... saya sedih dengan keputusan yang diambil (parti) kerana saya hanya membuat kenyataan berhubung apa yang difikirkan oleh ahli-ahli parti,”

Hari ini Rakan-rakan beliau sendiri terutama yang bekerja terus di bawah Lim Guan Eng menolak dakwaan Zahrain itu.

Nampaknya tak betullah kenyataan dia semalam..


Zahrain keseorangan dalam menilai Lim Guan Eng

Ali Hashim

GEORGETOWN, 1 Feb: Nampaknya Datuk Zahrain Mohd Hashim keseorangan dalam menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang. Rakan-rakan beliau sendiri terutama yang bekerja terus di bawah Lim Guan Eng menolak dakwaan Zahrain itu.

Bahkan, Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim (GAMBAR) menasihatkan bekas Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang itu tidak terperangkap dan terjebak dengan rentak tari Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sebagai wakil rakyat PKR, Zahrain tidak sepatutnya mengecam Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum yang menerajui parti yang dinaunginya sendiri.

"Sekiranya benar seperti didakwa bahawa Datuk Zahrain mengeluarkan tohmahan terhadap Datuk Seri Anwar maka ianya adalah amat mendukacitakan. Sebagai seorang pemimpin yang telah lama dalam parti, adalah tidak wajar bagi beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Secara tidak langsung ianya membuka ruang kepada BN untuk mengambil kesempatan diatas apa yang berlaku. Saya sendiri kurang jelas apa yang dimaksudkan dengan dakwaan sepertimana yang dilaporkan media istilah diktator, cauvanis dan berfikiran komunis yang ditujukan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Pada pandangan saya dakwaan tersebut adalah serius."

Abdul Malik juga menafikan dakwaan bahawa Lim mengamalkan sikap sepertimana yang didakwa oleh Zahrain dalam pentadbirannya semasa menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri.

"Apa yang dapat dinyatakan di sini sepanjang saya berkhidmat bersama beliau, Lim mengamalkan sikap yang tegas dalam pentadbiran dan menitiberatkan semua perkara dan fakta yang dikemukakan secara terperinci dalam pentadbiran beliau.

"Oleh kerana itu kepimpinan yang dipamerkan oleh Ketua Menteri ini perlu dinilai secara positif dan bukannya dengan membuat tuduhan sebarangan," katanya dalam sidang media di Dewan Delima,Tingkat 53, Komtar.

Sementara itu, konflik antara Zahrain dengan Lim Guan Eng, diharap dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan kontroversi ini berlarutan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Kedah, Lim Guan Aik, perkara ini boleh diselesaikan secara bersemuka antara kedua-dua pemimpin secara tertutup supaya segala kekusutan yang dihadapi dapat dirungkai dengan segera.

"Perasaan tidak puas hati ini tidak perlu didedahkan secara terbuka kerana ia boleh dimanipulasi oleh Barisan Nasional (BN) yang senantiasa mencari peluang untuk memberi gambaran dan imej yang buruk terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

"Pada pandangan saya tohmahan yang dilemparkan oleh bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu hanyalah helah politik dan saya merasakan bahawa beliau telah terperangkap dengan jerangkap BN. Tindakan beliau mengkritik kepimpinan Datuk Seri Anwar juga adalah tidak wajar dan ia memberi kesan yang buruk kepada PR," katanya.

Lim yang juga merupakan Adun tunggal DAP Negeri Kedah berkata, pemikiran dan mentaliti Umno yang diwarisi dan masih kuat terpahat dalam jiwa dan minda bekas sesetengah anggota parti tersebut yang kini menganggotai PKR, akan menjadi penghalang kepada reformasi yang hendak dibawa oleh parti tersebut.

"Bekas ahli Umno yang berada dalam PKR sepatutnya tidak menjadikan budaya Umno yang gemar menggunakan kedudukan demi kepentingan peribadi ini menghantui mereka lagi. Oleh kerana itu pada masa yang akan datang PR harus membuat pilihan yang lebih selektif dalam melahirkan pemimpin yang berkualiti," katanya.


HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails