Saturday, February 6, 2010

Bagaimanakah, sekali lagi, mereka cuba untuk mencipta bukti terhadap Anwar

Bukti' sudah tersedia. Spesimen air mani pada seluar dalam Saiful telah 'disahkan' sebagai air mani Anwar. Masalahnya adalah jika mereka membenarkan pakar asing yang bebas bagi mengaudit dapatan Jabatan Kimia itu, maka akan terbuktilah bahawa spesimen itu berusia sepuluh tahun dan bukannya bertarikh 26 Jun 2008, sebagaimana yang didakwa.

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

Malam tu, mereka berparti sakan. Jabatan Kimia begitu gembira kerana beranggapan bahawa mereka ada kes yang kukuh terhadap Anwar Ibrahim, hinggakan mereka meraikannya.

Parti dengan kos RM25,000 tu ditanggung oleh seorang Individu Baik yang gembira bahawa kali ni, tak seperti perbicaraan yang sebelumnya, Anwar berada dalam tangan mereka.


RM25,000 untuk berparti bukannya banyak sangat jika ia adalah bagi meraikan perkahwinan Perdana Menteri. Tahun lalu, berjuta dibelanjakan bagi perkahwinan Abdullah Ahmad Badawi. RM25,000 juga bukannya banyak sangat bagi meraikan pengambil alihan Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada tahun 2010. Malah Rosmah Mansor membelanjakan lebih daripada tu untuk membeli beg tangan. Tetapi RM25,000 sememangnya jumlah yang besar bagi merayakan 'kejayaan' Jabatan Kimia menjerat Anwar.

Tetapi mengapakah Individu Baik tu perlu membiayai parti RM25,000 untuk kakitangan Jabatan Kimia? Nak raikan apanya? Adakah mereka akan membelanjakan RM25,000 setiap kali mereka berjaya menyelesaikan sesuatu kes? Atau adakah ini parti ‘sekali seumur hidup’ atas kejayaan mereka menjumpai ‘bukti’ bagi menghantar Anwar ke penjara selama sekurang-kurangnya sepuluh tahun, yang akan memastikan bahawa beliau takkan dapat membentuk kerajaan Persekutuan yang baru pada 16 September 2008?

Eh, tunggu kejap. Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi berkata bahawa Anwar perlu memberikan profil DNA ‘barunya’. Menurut Abdullah, profil DNA tahun 1998 yang disimpan polis adalah 'terlalu tua'. Pada masa yang sama, polis pula berkata bahawa jika Anwar menolak untuk memberikan profil DNA ‘barunya’, maka mereka akan mendapatkan perintah mahkamah bagi memaksanya berbuat demikian. Mmm… ada banyak yang tak kena, ni.

Pertama sekali, kalau Jabatan Kimia sudah mempunyai kes yang kukuh terhadap Anwar, maka mengapakah mereka memerlukan profil DNA Anwar yang baru? Kita perlu sedar bahawa profil DNA takkan pernah berubah. Kalau ya, maka adakah polis juga perlu mendapatkan cap jari Anwar yang ‘baru’ kerana cap jarinya dah berubah? Hakikatnya adalah cap jari tak pernah berubah sejak kita dilahirkan sampailah saat kematian kita. Hakikat yang sama terpakai bagi profil DNA.

Jika anda masih ingat, kubur Napoleon Bonaparte pernah digali semula. Mereka kemudiannya menjalankan ujian bagi membuktikan bahawa dia telah meninggal akibat keracunan arsenik. Napoleon meninggal dunia pada 5 Mei 1821, iaitu lebih daripada 187 tahun yang lalu. Jadi, logikkah apabila mereka mengatakan bahawa profil DNA Anwar sepuluh tahun yang lalu sudah basi?

Sebenarnya, 'bukti' kukuh yang diperoleh Jabatan Kimia baru-baru ini adalah berdasarkan spesimen Anwar pada tahun 1998. Jadi, mereka memerlukan spesimen baru yang bertarikh 2008. Jika tidak, jika Anwar memohon supaya ‘bukti’ Jabatan Kimia itu diaudit oleh pakar asing yang bebas, maka pakar itu mungkin mendapati bahawa spesimen yang kononnya ‘bukti kukuh’ itu sebenarnya berusia sepuluh tahun, dan bukannya dari insiden 'liwat' 26 Jun 2008, sebagaimana yang didakwa oleh kerajaan.

Ya, mereka (para pakar) bukan hanya mampu menentukan sama ada ‘air mani’ yang terdapat pada seluar dalam Saiful itu milik Anwar ataupun tidak, malah mampu menentukan sama ada ia adalah spesimen bertarikh September 1998 ataupun spesimen bertarikh 26 Jun 2008, sebagaimana yang didakwa oleh kerajaan.

Bukti' sudah tersedia. Spesimen air mani pada seluar dalam Saiful telah 'disahkan' sebagai air mani Anwar. Masalahnya adalah jika mereka membenarkan pakar asing yang bebas bagi mengaudit dapatan Jabatan Kimia itu, maka akan terbuktilah bahawa spesimen itu berusia sepuluh tahun dan bukannya bertarikh 26 Jun 2008, sebagaimana yang didakwa.

Jadi, mereka perlu menukar spesimen September 1998 dengan spesimen baru yang bertarikh Julai 2008. Itulah sebabnya Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dan Syed Hamid Albar, dan yang lain-lain meminta Anwar supaya memberikan spesimen barunya. Mereka memerlukan spesimen baru ini bagi 'membuktikan' bahawa air mani pada seluar dalam Saiful adalah bertarikh 26 Jun 2008 dan bukannya September 1998. Malah Abdullah sendiri 'mengesahkan' perkara ini apabila dia meminta Anwar memberikan specimen barunya, walhal bagi pemprofilan (profiling) DNA, spesimen lama sudah memadai – tetapi jika ‘bukti’ Jabatan Kimia itu diaudit oleh pakar asing yang bebas, maka akan terbuktilah bahawa spesimen itu berusia sepuluh tahun.

Ya, pada bulan September 1998, mereka sudah pun mengambil spesimen Anwar. Namun mereka tidak boleh menggunakannya sebagai bukti dalam tuduhan liwat terbaru ini. Mereka perlu 'mengemaskinikan' bukti mereka, dan melainkan mereka dapat memaksa Anwar bagi memberikan spesimen baru kepada mereka, maka bukti tu menjadi terlalu lemah. Itulah sebabnya polis terpaksa melepaskan Anwar dengan jaminan polis sehari selepas beliau ditangkap ala filem aksi Hollywood. Mereka hanya ada dua pilihan, iaitu membebaskannya ataupun mendakwanya di mahkamah. Tetapi nak dakwa macam mana kalau bukti tak kukuh? Realitinya adalah ‘bukti’ yang berdasarkan spesimen bertarikh September 1998 tu sememangnya tak kukuh dan takkan membolehkan mereka mendapatkan sabitan. Ini kerana Anwar dituduh meliwat Saiful pada 26 Jun 2008, dan bukannya September 1998.

Nah, sekarang baru anda tahu bagaimana cara dua ekor kucing kurap, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara beroperasi. Kedua-dua ekor kucing kurap inilah yang memalsukan bukti pada tahun 1998, yang mana mengakibatkan Anwar dipenjarakan selama enam tahun. Dengan berkata demikian, adakah saya bersalah atas jenayah hasutan dan fitnah? Ya, tulah yang saya harapkan. Alang-alang, baik saya lakukan satu lagi ‘jenayah’. Saya akan menuduh Peguam Negara dan Ketua Polis Negara memalsukan bukti dan menakut-nakutkan saksi.

Begini… sebenarnya, mereka meminta seorang doktor dari sebuah hospital bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas Saiful. Doktor itu melakukannya dan dalam laporannya, dia mengatakan tiada bukti bahawa Anwar pernah ‘menjolok’ ataupun meliwat pemuda tu. Pihak polis kemudiannya menangkap doktor tu dan menahannya selama tiga hari. Walaupun mereka cuba memaksanya supaya mengubah laporannya bagi membabitkan Anwar, dia enggan melakukannya.

Sehingga ke hari ini, doktor itu tetap bertegas bahawa tiada bukti bahawa Anwar telah meliwat Saiful. Dia tahu bahawa dia akan ‘kena’ disebabkan ketegasannya, tetapi dia tak peduli. Walau apa pun yang dilakukan kepadanya, dia takkan mengubah laporannya dan mengatakan bahawa Anwar meliwat Saiful. Pihak polis akhirnya terpaksa melepaskan Anwar atas bon peribadi ataupun jaminan polis. Doktor tu enggan mengubah laporannya, manakala Anwar pula enggan memberikan spesimen ‘barunya’.

Bukti' terhadap Anwar tak cukup kukuh. Mereka kini terpaksa mencari cara lain bagi 'membuktikan' bahawa Anwar meliwat Saiful. Sementara itu, lantaran tuduhan saya yang terbaru ni, mari kita tunggu sama ada Peguam Negara akan membuat laporan polis yang lain terhadap saya dan sama ada Ketua Polis Negara akan menangkap saya dan mendakwa saya di mahkamah atas kesalahan menghasut dan jenayah fitnah.

Sekarang ni pun, saya sedang menghadapi empat pertuduhan hasutan dan jenayah fitnah. Dua ataupun tiga pertuduhan lagi, apa salahnya? Ye tak? Sama ada saya dipenjarakan ataupun tidak, tu bukan soalnya. Apa yang penting adalah dunia perlu diberitahu bahawa mereka sekali lagi cuba memalsukan bukti terhadap Anwar Ibrahim. Kalau saya terpaksa masuk penjara pun, gasaklah.

ARTIKEL DI ATAS DITERBITKAN PADA 21 JULAI 2008. TAK LAMA SELEPAS TU, SAYA DIPANGGIL KE BUKIT AMAN KERANA MEREKA INGIN 'MENGAMBIL KETERANGAN SAYA' ATAS TUDUHAN MENGHASUT. SAYA ENGGAN MEMBERIKAN KETERANGAN. MAKA POLIS TERPAKSA MEMBEBASKAN SAYA. MEREKA KEMUDIANNYA MENGGELEDAH RUMAH SAYA BAGI MENCARI LAPORAN DOKTOR YANG BERKENAAN DAN MERAMPAS PELBAGAI DOKUMEN. WALAU BAGAIMANAPUN, MEREKA GAGAL MENCARI KOMPUTER SAYA, SEKALIPUN MEREKA MENGGELEDAH SELURUH RUMAH SAYA. TAK SAMPAI DUA BULAN KEMUDIAN, SAYA DITAHAN DI BAWAH AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI.


Translated into BM by Jason

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails