Monday, February 8, 2010

"Aku Bukan TALIBAN" - YB Zul

“Saya cuma mempertahankan agama saya, saya pun tidak mencampuri agama lain, tidak kira Kristian, Buddha atau Hindu... saya hormati agama lain... tetapi apabila agama saya tercabar, saya tidak boleh berkompromi... saya mengutamakan agama daripada yang lain (termasuk parti politik),” kata Zulkifli sambil menambah beliau sebenarnya dibesarkan dalam persekitaran sekular termasuk menerima pendidikan di SMK Anderson di Ipoh dan SMK King Edward VII, Taiping.



Zulkifli Noordin: ‘Saya bukan Taliban’

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, Feb 8 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang kali kedua dihadapkan kepada lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 2008 mempertahankan dirinya dengan berkata, beliau bukan seorang “Taliban” ataupun “ekstremis” sebagaimana dilabelkan sesetengah pihak.

“Tidak, tidak. Saya bukan Taliban... tetapi jika ada yang menganggap saya begitu, apa saya boleh buat?” kata beliau membuka perbualan dalam temu bual bersama The Malaysian Insider di pejabatnya di sini petang semalam.

Zulkifli memulakan perbualan dengan kata-kata itu sambil menunjukkan alat muzik saksofon. Katanya beliau juga boleh mengendalikan alat muzik serunai.

“Jadi macam mana hendak kata saya ini Taliban?” kata beliau dengan mengenakan kopiah berwarna coklat muda kegemarannya.

Dengan diiringi muzik sentimental Afrika, Zulkifli yang setiap pagi Ahad meluangkan masa dengan menunggang kuda berkata: “Saya hanya berpegang sangat kepada agama saya, agama Islam.”

“Saya juga bukan ekstrem,” kata beliau dengan bertanya balik sama ada langkah mempertahankan agama sendiri boleh dianggap sebagai satu bentuk “tindakan ekstrem.”

“Kalau kita pergi bunuh orang, OK, kita boleh dianggap sebagai ekstremis... saya cuma mempertahankan agama saya agama Islam,” kata beliau yang tulisan blognya juga banyak berkisar pada agama.

“Saya cuma mempertahankan agama saya, saya pun tidak mencampuri agama lain, tidak kira Kristian, Buddha atau Hindu... saya hormati agama lain... tetapi apabila agama saya tercabar, saya tidak boleh berkompromi... saya mengutamakan agama daripada yang lain (termasuk parti politik),” kata Zulkifli sambil menambah beliau sebenarnya dibesarkan dalam persekitaran sekular termasuk menerima pendidikan di SMK Anderson di Ipoh dan SMK King Edward VII, Taiping.

Menerima pendidikan awal di Ashby Road (English) Primary School, Ipoh, Zulkifli kemudian mengikuti pengajian A-Level di Pakuranga College, Bucklands Beach, Auckland dan memasuki Victoria University of Wellington, New Zealand mulai 1982 hingga 1986.

Zulkifli mendakwa disebabkan pendiriannya yang tegas itu beliau dilabelkan sebagai “reformis” dan “fundamentalis.”

“Berpegang teguh kepada kepercayaan kita bukan ekstremis,” kata Zulkifli dengan mengakui beliau mula berpegang teguh pada Islam selepas memperoleh cahaya mata pertama, seorang anak perempuan.

Pendirian “ekstemis” Zulkifli menjadi perhatian ekoran tindakannya 'mengepalai' Himpunan Aman Umat Islam membantah tindakan Majlis Peguam menganjurkan Forum Memeluk Islam di Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2008. Tindakan Zulkifli itu, exco Persatuan Peguam Islam, dilihat bertentangan pendirian dengan PKR.

Ekoran tindakannya itu beliau dipanggil lembaga disiplin PKR tetapi tiada tindakan dikenakan ke atasnya.

Kali ini pendiriannya yang bercanggah dengan dasar PKR diperlihatkan dalam isu penggunaan kalimah “Allah”.

“Memang dalam dunia ini sesiapa sahaja, orang pertama cuba hendak membawa perubahan akan dianggap sebagai reformis dan akan ditentang (habis-habisan), sebagaimana nasib yang dialami Nabi,” katanya.

Beliau mendakwa di negara ini sudah wujud satu kumpulan yang dianggapnya sebagai liberal, dalam semua agama, bukan setakat di kalangan masyarakat beragama Islam.

Justeru kata Zulkifli beliau cuba mempertahankan keutuhan agama Islam dengan menyatakan pendirian tegas yang tidak disenangi sesetengah pihak.

Turut dikenali sebagai “The Riding MP”, Zulkifli berkata beliau mengalami perubahan ketara dalam hidupnya iaitu mempertahankan agama Islam apabila mula memikirkan tujuan sebenar kehidupan dalam dunia ini.

“Dalam satu tahap apabila anda tiba di tahap di mana anda ada wang, walaupun saya bukan kaya sangat, ada keluarga dan sebagainya, anda akan mula bertanya apa tujuan hidup ini... jadi saya mula menyelami diri saya dan membawa ala tuju semasa ini,” katanya.

Kata Zulkifli, semasa mengikuti pengajian undang-undang di New Zealand pada tahun 1980-an beliau pernah tinggal bersama keluarga Kristian termasuk teman sebiliknya juga pelajar beragama Kristian iaitu ketika tinggal di sebuah asrama Kristian.

“Jadi, anda boleh melihat latar belakang saya dari zaman sekolah lagi,” katanya.

Oleh itu kata Zulkifli, adalah tidak benar untuk mengatakan beliau tidak pernah tidak bergaul dengan masyarakat lain agama.

Beliau juga merupakan antara anggota Dewan Rakyat banyak mengemukakan usul di Parlimen berkaitan Islam sehingga dikatakan bertindak bertentangan dengan dasar PKR.

Pada 25 Jan lalu penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Zulkifli sudah melampaui batasan dengan membuat laporan polis agar Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada PAS disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Saya sentiasa memberi ruang kepada beliau (Zulkifli) untuk meluahkan perasaan beliau tetapi saya tidak bersetuju dengan beliau.

“Saya telah menasihatkan beliau agar tidak mencetuskan ketegangan di kalangan rakan kami tetapi beliau telah melampaui batasan kali ini,” kata Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakannya itu, Zulkifli telah dirujuk kepada lembaga disiplin PKR, yang akan disiasat menjelang akhir bulan ini.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails