Thursday, February 4, 2010

Adakah PKR itu Dato Zahrain atau Dato Zahrain itu PKR?

Kalau Dato bertanya adakah DAP itu Lim Guan Eng atau Lim Guan Eng itu DAP.. saya pun nak bertanya juga.. Adakah PKR itu Dato Zahrain atau Dato Zahrain itu PKR?

Dato sepatutnya tahu orang Melayu yang macam mana dan dari parti mana yang marah tu sebelum berkata “Saya nampak ada orang Melayu sudah mula marah, peniaga kecil marah, penjaja marah... orang kata kita zalim,”.


Zahrain: PKR Pulau Pinang jejas teruk di PRU-13 jika terus kompromi

Oleh G. Manimaran dan Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, Feb 4 — Ahli Parlimen Bayan Baru yang minggu lalu membidas keras Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, prestasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang akan “terjejas teruk” jika hubungan dengan DAP khususnya Lim Guan Eng tidak dikaji semula.

Datuk Seri Zahrain Hashim juga mahu Pakatan Rakyat mengambil keputusan bersama untuk menukar Lim sebagai ketua menteri negeri itu.

“Biarlah anak Pulau Pinang yang jadi ketua menteri kerana memahami masalah negeri,” katanya.

Beliau turut menamakan beberapa anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh, ketiga-tiganya dari DAP sebagai orang yang lebih layak untuk menerajui Pulau Pinang.

“Saya sudah mengatakan apa yang perlu saya katakan, kini terserah kepada pucuk kepimpinan (untuk bertindak).

“Parti (PKR) perlu melihat semula hubungan dengan DAP... sama ada DAP atau Lim Guan Eng... adakah DAP itu Lim Guan Eng atau Lim Guan Eng itu DAP... bagaimanapun saya pasti ada juga pemimpin intelektual dalam DAP yang boleh menilai gaya dan cara kepimpinan Lim Guan Eng,” kata Zahrain dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Zahrain yang diputuskan oleh PKR untuk merujuknya kepada lembaga disiplin Ahad lalu memberitahu beliau bimbang ekoran perasaan marah di kalangan Melayu, PKR akan kalah teruk di kawasan-kawasan majoriti pengundi Melayu di Pulau Pinang.

“Saya nampak ada orang Melayu sudah mula marah, peniaga kecil marah, penjaja marah... orang kata kita zalim,” kata Zahrain.

“Apa yang saya bimbang dalam pilihan raya akan datang DAP menang di kerusi mereka tanding, PKR pula kalah di semua kerusi,” katanya.

Dengan tindak tanduk Lim, Zahrain mendakwa beliau bimbang kawasan-kawasan yang majoritinya Melayu ataupun komposisi pengundi 50:50 akan tercicir daripada penguasaan PKR dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13.

Selain Zahrain, tiga Ahli Parlimen PKR di Pulau Pinang ialah Tan Tee Beng dari Nibong Tebal, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh) dan Mohd Yusmadi Yusoff (Balik Pulau).

Di Dewan Undangan Negeri pula PKR mempunyai lapan kerusi iaitu Penanti, Machang Bubuk, Bukit Tengah, Bukit Tambun, Sungai Bakap, Kebun Bunga, Batu Uban dan Batu Maung.

Zahrain berkata beliau tidak menyerang kepimpinan PKR khususnya Anwar selaku penasihat PKR.

“Saya tidak menyerang Anwar, saya hanya menyatakan apa yang berlaku sekarang. Apabila saya pergi menghadap lembaga disiplin, saya akan bercakap perkara ini,” kata Zahrain sambil menambah beliau tidak mahu “jadi hero” dengan membawa masalah yang berlaku di Pulau Pinang.

Sambil mendakwa seolah-olah PKR Pulau Pinang dijadikan “hamba”, Zahrain juga mahu ketua menteri ditukar dengan anak tempatan walaupun dari kalangan DAP.

“Ini isunya... kalau orang hendak kata saya ejen Umno, itu biasalah... tidak boleh menerima teguran,” katanya.

Zahrain, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang menjadi tumpusan di sebalik desas-desus beliau mahu meninggalkan PKR dan ada diberi tawaran untuk menyertai ataupun menyokong BN di Parlimen.

Dalam pertemuan terbaru Zahrain masih menafikan akan berbuat demikian sebaliknya menegaskan beliau masih meletakkan kepercayaan pada perjuangan PKR yang ditubuhkan lebih sedekad lalu.

Zahrain merupakan bekas pemimpin Umno Bahagian Tanjong sebelum menyertai PKR ketika era reformasi.

Minggu lalu Zahrain menyifatkan Lim yang juga setiausaha agung DAP sebagai seorang diktator, cauvanis dan berfikiran komunis.

Zahrain dipetik sebagai berkata bahawa PR tidak akan berkompromi dengan pemimpin dari Melaka itu kerana Lim telah gagal memenuhi janji pilihan rayanya.

Ini bukan pertama kali Zahrain mengkritik Lim.

Pada April lalu, Zahrain turut menyalahkan Lim berhubung pelantikan Timbalan Ketua Menteri 1 dan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails