Sunday, January 31, 2010

Zahrain pertahan dakwaan.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tetap mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.

Menurut bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu, beliau tidak mempunyai sebarang agenda peribadi apabila mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya mahu menjaga kepentingan negeri itu.

Tegasnya, jika ada pihak yang cuba menuduh tindakan tersebut bersifat peribadi atau mengaitkan keluarganya dalam pemberian tender bagi pengurusan Kelab Golf Bukit Jalil, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, beliau percaya ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang bersetuju dalam perkara itu sekali gus menggesa mereka supaya tidak lagi berkompromi dengan Setiausaha Agung DAP itu.

‘‘Siapa yang kenal lama dengan Guan Eng pasti tahu apa yang saya cakap itu sememangnya benar, jadi cukup-cukuplah daripada nak terus mempertahankannya.

‘‘Ingin ditegaskan bahawa saya tidak obses dengan pangkat atau sebagainya, saya cakap apa yang betul, Pulau Pinang memang tak perlu orang macam itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyeru kepimpinan PKR tidak berkompromi dengan rakan lain dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mengejar jawatan Perdana Menteri.

Tegasnya, pemimpin PKR termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh lari daripada agenda yang telah dipersetujui sebelumnya, iaitu untuk melakukan reformasi dalam pelbagai bidang di negara ini.


Utusan Malaysia

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails