Tuesday, January 19, 2010

Tipu Peneroka : Felda diarah bayar RM7.8Juta.

Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada peneroka terlibat kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

KOTA BAHARU: Permohonan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengetepikan perintah membayar saman berjumlah RM7.8 juta kepada 354 peneroka Kemahang Tiga, Tanah Merah, ditolak dengan kos oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin berkata beliau mendapati penghakiman perbicaraan tuntutan saman yang dikemukakan oleh kumpulan peneroka berkenaan terhadap Felda dan dua defendan lain pada 13 Jan lalu di mahkamah yang sama adalah sah dan terpakai.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar setelah hakim Mohd Azman mendengar permohonan mengetepikan keputusan perbicaraan yang dikemukakan oleh Felda yang diwakili empat peguam yang diketuai Datuk Cecil Abraham.

Dalam saman itu, Felda dinamakan sebagai defendan pertama, Pengurus Rancangan Felda Kemahang 3, Tanah Merah, Ibrahim Ismail dinamakan sebagai defendan kedua manakala Felda Palm Industries Sdn Bhd sebagai defendan ketiga.

Kesemua 354 peneroka itu diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal Yusof dan Muhd Azmi Talib.

Abraham ketika ditemui berkata defendan telah membuat permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah sehingga kes dirayu di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mohd Azman menerima permohonan itu dan menetapkan 12 Feb ini untuk perbicaraan permohonan rasmi defendan untuk penangguhan penghakiman yang dibuat pada 13 Jan itu sehingga keputusan rayuan diperoleh.

Pada 13 Jan lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi RM7.8 juta kepada peneroka terlibat kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Mohd Azman memerintahkan keduadua defendan itu membayar ganti rugi am sebanyak RM7.1 juta dan ganti rugi teladan sebanyak 10 peratus daripada jumlah itu iaitu RM710,000 serta kos, berkuat kuasa serta-merta, kerana mahkamah mendapati berdasarkan kepada keterangan semasa perbicaraan, memang wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit.

Tuntutan saman itu difailkan oleh kesemua peneroka itu pada 22 Sept 2002.

Semasa prosiding hari ini, hampir 400 peneroka dan keluarga mereka hadir di mahkamah dan kebanyakannya dilihat membaca Al-Quran ketika prosiding berlangsung.


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails