Friday, January 29, 2010

Serang Gereja : Azmin tuduh tak apa, DAP tuduh, kena siasat..

Undang-undang apa yang negara kita ini pakai ni? Azmin tuduh ahli Umno terbabit dalam insiden serangan ke atas rumah-rumah ibadat, Hishamuddin kata polis tidak akan mengambil kenyataan daripada Azmin berhubung dakwaan itu yang diketepikan sebagai "kenyataan politik."

Tetapi bila Ahli parlimen Teluk Intan M Manogaran dari DAP membuat tuduhan dia dipanggil polis untuk siasatan.

Bukankah Ahli parlimen Teluk Intan itu juga Ahli Politik.. jadi kenyataannya juga ialah "kenyataan politik".

Ada sesuatu yang tak kena disini...


MP DAP disiasat mengikut Akta Hasutan

Ahli parlimen Teluk Intan M Manogaran dipanggil untuk siasatan polis hari ini, dipercayai mengikut Akta Hasutan, berhubung ucapannya pada satu ceramah minggu lalu yang mengaitkan Umno terlibat dalam serangan ke atas rumah ibadat.

Manogaran berkata ucapan itu dibuat dalam satu ceramah bersama beberapa pemimpin PKR termasuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Teluk Intan pada 22 Jan lalu.

Katanya, pada ucapan berkenaan, beliau secara umumnya mendakwa Umno terlibat dalam siri serangan ke atas rumah-rumah ibadat.

"Tapi saya kata begitu dalam konteks Umno sebagai tulang belakang kerajaan. Jadi apa-apa yang berlaku kepada rakyat, Umno mesti bertangungjawab," katanya yang akan memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Setapak petang ini.

Tambahnya lagi, ketika dihubungi Malaysiakini, beliau bagaimanapun tidak mempunyai rekod ucapan berkenaan kerana berucap secara spontan tanpa teks pada ceramah di Cenderiang Balai itu

"Saya bercakap tanpa teks dan tidak mempunyai rekod ucapan tersebut. Polis ada rakaman (ucapan) itu dan saya nampak ada juga beberapa orang yang merakam dengan kamera video," katanya lagi.

Dihubungi tiga hari lalu

Tambahnya, polis Teluk Intan telah menghubunginya sejak tiga hari lalu untuk merakam keterangannya, namun beliau tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Kuala Lumpur.

"Hanya hari ini saya lapang untuk bertemu mereka di Kuala Lumpur," katanya lagi yang menyifatkan tindakan polis memanggilnya memberi keterangan itu sebagai "prosedur biasa."

"Cuma, saya harap ini bukan bermotifkan politik semata-mata sebab saya sebut Umno terlibat (dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat)," katanya lagi.

Manogaran merupakan individu pertama yang disiasat polis kerana mengaitkan Umno dalam insiden serangan ke atas rumah ibadat.

Naib presiden PKR, Azmin Ali turut membuat kenyataan serupa kelmarin dengan mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terbabit dalam serangan 8 Jan itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam berkata polis tidak akan mengambil kenyataan daripada Azmin berhubung dakwaan itu yang diketepikan sebagai "kenyataan politik."


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails