Wednesday, January 6, 2010

Polis Perancis Bakal Panggil Najib Untuk Siasatan?

Isu pembunuhan Altantuya Shariibuu dan dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scopene terus menghantui Perdana Menteri dengan pihak berkuasa Perancis berkemungkinan memanggil beliau untuk memberi keterangan.

Sumber-sumber mengesahkan sebuah laporan polis akan dibuat di Paris tidak lama lagi bagi menyiasat tuduhan RM540 juta dibayar kepada syarikat kroni Datuk Seri Najib Razak oleh sebuah syarikat Perancis untuk pembelian kapal selam itu.

Ini berikutan keengganan pihak berkuasa Malaysia, termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak telus menyiasat dakwaan itu walaupun pelbagai bukti di ketengahkan sejak beberapa tahun lalu, ketika Najib masih Menteri Pertahanan.

Menurut sumber berkenaan semua dokumen dan laporan mengenai kematian Altantuya serta dakwaan rasuah berhubung pembelian dua kapal selam oleh kerajaan Malaysia sudah diserahkan kepada dua peguam Perancis.

"Kedua-dua peguam tersebut tiba di Malaysia kira-kira tiga minggu lalu untuk berbincang mengenai laporan polis yang akan dibuat di Paris tidak lama lagi,” kata sumber berkenaan.

"Pihak kami sudah serahkan semua dokumen termasuk keratan akhbar dan laporan media mengenai isu pembunuhan Altantuya dan Scopene,” tambah beliau.

Altantuya adalah bekas kekasih Abdul Razak Baginda yang dikaitkan dengan syarikat Peri Mekar. Syarikat itu dilaporkan menerima RM540 juta daripada pembekal kapal selam berkenaan menerusi perjanjian yang direstui oleh Najib.

Abdul Razak adalah kenalan rapat Najib malah pernah bertindak sebagai penasihat kepada beliau.

Altantuya mati dibom pada tahun 2006 apabila beliau dikatakan tiba di Malaysia untuk menuntut komisyen USD500,000 dari hasil penjualan kapal selam itu.

Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya tetapi dua pegawai polis disabit kesalahan atas tuduhan itu dan dihukum gantung.

Seorang penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang di upah oleh Abdul Razak membuat perakuan bersumpah mengesahkan bahawa Razak sendiri memberitahunya Najib mempunyai hubungan dengan Altantuya .

Bala kini berlindung di luar negara tetapi sanggup memberi keterangan kepada SPRM dengan syarat disoal siasat di negara ketiga kerana bimbangkan keselamatannya jika kembali ke Malaysia. Tawaran itu tidak disahut SPRM.

Bala sebelum ini turut mendedahkan adik Perdana Menteri, Nazim Razak mengugut beliau untuk menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Najib Razak dengan kes Altantuya.



Freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails