Wednesday, January 27, 2010

Pilihan raya negeri Sarawak, BN diramal menang besar

Barisan Nasional Sarawak yang dipimpin oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka menang besar pada pilihan raya negeri yang diramalkan pada April tahun ini.

Penyelaras, Pilihan Raya Bebas dan Adil (Mafrel), BK Ong berkata beberapa faktor akan menyumbang kepada kemenangan besar itu.

Antaranya, barisan pembangkang di Sarawak tidak bersatu, kekurangan jumlah pengundi muda dan kehadiran pembangkang di luar bandar yang hambar.

Menurut beliau, bagi mana-mana parti untuk menguasai Sarawak, mereka perlu memenangi kerusi-kerusi di kawasan luar bandar dengan memenangi hati penduduk berkenaan.

“Dalam aspek ini, BN Sarawak mendahului parti pembangkang seperti DAP dan PKR.

“Buat masa ini, kerusi luar bandar dianggap sebagai kawasan yang cukup selamat buat BN,” kata Ong yang juga mengetuai Rangkaian Pemerhati Pilihan Raya Malaysia (Meon) yang juga ditugaskan memantau pilihan raya Sarawak.

Meon ditubuhkan dengan keanggotaan daripada beberapa kumpulan pemerhati pilihan raya. Mereka termasuk Kesatuan Pengundi Malaysia, Pulau Pinang (MVUP), Institut Kebangsaan Pilihan Raya (NIEI), Komunikasi Masyarakat (Komas) dan Pilihan Raya Bebas dan Adil untuk Sarawak (Safrel).

Menurut Ong, walaupun PKR dan DAP bersatu melaui Pakatan Rakyat, namun kerjasama mereka tidak semantap BN.

“Pembangkang mungkin dapat merampas beberapa kerusi tetapi mereka tidak mampu menafikan BN daripada kemenangan dua pertiga.”

Menurutnya lagi, tidak seperti BN yang telah sepakat berhubung pembahagian kerusi, pakatan pembangkang masih terkial-kial dan tercari-cari calon yang bersesuaian.

“Pembangkang kini kesuntukan masa untuk mengemas kini senarai calon.

“Sepatutnya senarai calon seharusnya dimuktamadkan bagi membolehkan mereka bermesra dengan pengundi,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kerusi.

Pada pilihan raya negeri yang terakhir, BN memenangi 62 kerusi manakala parti-parti pembangkang cuma mampu menawan lapan kerusi.

Pilihan raya diramal April ini

Tarikh tempoh DUN Sarawak akan berakhir pada Mei 2011.

Bagaimanapun Ong dengan yakin meramalkan ia akan diadakan tahun ini, dengan jangkaannya pada April atau selewat-lewatnya September ini.

Keyakinannya itu berdasarkan kerja-kerja persiapan yang giat dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Seperti Sabah, Sarawak dilihat sebagai kunci utama bagi menjadikan impian Pakatan Rakyat menawan Putrajaya pada pilihan raya ke-13 menjadi kenyataan.

Meskipun pilihan raya negeri tidak akan menyaksikan perubahaan kuasa, namun ia adalah petunjuk awal sebelum kerajaan persekutuan itu boleh ditumbangkan.

Daripada 222 kerusi parlimen, Sarawak diperuntukkan 31 kerusi dan pada pilihan raya 2008, kecuali satu kerusi, yang lain diduduki oleh BN.

Sabah pula mempunyai 25 kerusi parlimen.

Menurut Ong, meskipun Pakatan Rakyat mungkin memenangi beberapa kerusi tambahan di Semenanjung pada pilihan raya akan datang, namun hasrat mereka menguasai kerajaan persekutuan akan terkubur jika gagal menembusi Sarawak.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails