Saturday, January 23, 2010

Pengerusi Gerak sertai PKR esok

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 23 — Jika pengerusi pertama Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) menyertai Umno dua tahun lalu, penggantinya Mohd Nazree Mohd Yunus pula akan melangkah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR), esok.

Nazree, 26, yang sebelum ini turut disebut-sebut akan mengikut langkah Ezam menyertai Umno, dikatakan sudah memutuskan untuk menganggotai PKR.

Perkara itu yang sepatutnya diumumkan pagi ini hanya akan dimaklumkan kepada umum tengah hari esok.

The Malaysian Insider difahamkan Nazree sudah mencapai keputusan muktamad untuk menyertai PKR dan telah selesai mengadakan perbincangan akhir dengan kepimpinan parti itu beberapa hari yang lalu.

Pun begitu Nazree yang dihubungi lewat semalam enggan mendedahkan nama parti yang bakal beliau sertai.

Ketika ditanya bahawa PKR disebut-sebut sebagai parti pilihannya, Nazree berkata, “biar ia tinggal teka-teki (sehingga esok)... saya akan mengumumkan pada Ahad.”

“Apa yang boleh saya katakan adalah, saya telah dijemput untuk menghadiri satu sidang media di Kuala Lumpur pada Ahad ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui perbincangan mengenai perkara tersebut sudah selesai.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditanya mengenai perkara tersebut juga enggan memberi sebarang komen.

“Saya belum ada maklumat, bagaimanapun jika beliau hendak menyertai PKR, kami mengalu-alukan... kami mengalu-alukan sesiapa sahaja khususnya mereka yang boleh mendukung perjuangan PKR,” katanya.

Ezam, bekas ketua AMK menubuhkan Gerak dan kemudian menyertai Umno.

Bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu melepaskan jawatan pengerusi Gerak untuk menyertai Umno pada Jun 2008.

Ezam juga memaklumkan The Malaysian Insider minggu lalu bahawa beliau tidak pernah mengajak Nazree agar menyertai parti politik.

Nazree, 26, sebelum ini mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa beliau telah memaklumkan secara rasmi kepada barisan kepimpinan Gerak mengenai pendiriannya untuk menyertai parti politik secara sepenuh masa.

Beliau sebelum ini pernah dikaitkan dengan PAS dan Umno.

Bekas pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dan Solidariti Mahasiswa Malaysia menggariskan bahawa parti yang bakal disertainya harus mengamalkan prinsip keadilan, keterbukaan dalam memberi pandangan dan memperlihatkan sifat-sifat futuristik.

Di bawah kepimpinan Nazree, Gerak antara lain telah membuat aduan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan juga penggantinya Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun Khalid menafikan dakwaan Nazree dan telah memfailkan saman terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ke atas beliau.

Dalam samannya Khalid mendakwa dirinya difitnah ekoran kenyataan akhbar dibuat Nazree pada 21 Jan 2009, bertajuk “Amalan Rasuah dan Salahguna Kuasa Menteri Besar Selangor” dan “Laporan Salah Guna Kuasa Menteri Besar Selangor” pada 3 Feb 2009 berhubung pengagihan lembu korban dan juga juga penyalahgunaan wang kerajaan untuk membiayai kereta peribadi.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails