Wednesday, January 27, 2010

Pemalsuan Bon RM18Billion : Dua bekas pegawai PNUB dilepaskan..

Kejadian berlaku di era Mahathir, mereka dibebaskan kerana menurut Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata tindakan bekas ketua pegawai eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 69, dan bekas setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 53, dalam mengeluarkan bon tanpa kebenaran lembaga adalah satu perbuatan bodoh dan penyalahgunaan kuasa tetapi bukan jenayah....



Permodalan Usahawan Nasional Berhad

Dua Bekas Pegawai Kanan PUNB Dilepaskan Dalam Kes Pemalsuan Bon AS$5 Bilion

KUALA LUMPUR, 27 Jan - Dua bekas pegawai kanan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini berhubung tuduhan memalsukan sijil-sijil bon bernilai AS$5 bilion (kira-kira RM18 bilion) pada tahun 2000.

Dalam keputusannya, Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata tindakan bekas ketua pegawai eksekutif PUNB Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 69, dan bekas setiausaha Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 53, dalam mengeluarkan bon tanpa kebenaran lembaga adalah satu perbuatan bodoh dan penyalahgunaan kuasa tetapi bukan jenayah.

"Saya terima testimoni tertuduh pertama dan kedua bahawa mereka tidak berniat tidak jujur dalam mengeluarkan bon itu dan ia dilakukan dengan tujuan istimewa bagi mengumpul dana untuk kepentingan PUNB," kata Komathy.

Beliau berkata mahkamah menolak hujahan pendakwa raya bahawa pembelaan mereka merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian atau pemalsuan.

Ahmad Zukni dan Mohamad Aminuddin dituduh bersama memalsukan dokumen pada 13 Okt, 2000 di Wisma UOA II, No 21, Jalan Pinang, di sini.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa Ahmad Zukni dan Mohamad Aminuddin telah berkunjung ke London dalam kelas bisnes untuk membuka akaun korporat bagi memudahkan pemindahan sijil bon.

Komathy berkata Ahmadi telah menulis sepucuk surat bertarikh 11 Dis kepada perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai kekecewaan beliau dalam mendapatkan kebenaran lembaga PUNB bagi pengeluaran bon-bon yang bertujuan bagi mengumpul dana untuk cadangan empat projek mega bernilai RM16 bilion.

Beliau berkata masalah besar dalam pembelaan Ahmadi ialah beliau tidak mendapatkan kebenaran lembaga kerana mereka berfikiran konservatif dan berpuas hati dalam keputusan-keputusan mereka.

"Bon itu dikeluarkan kerana beliau yakin dan dengan jujur percaya bahawa beliau akan mendapat restu dan sokongan PM bagi mendapatkan kebenaran yang diperlukan daripada lembaga PUNB dan pihak berkuasa yang lain selepas itu," kata Komathy.

Beliau berkata Ahmadi juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dapat mengadakan temujanji dengan Tun Dr Mahathir pada 29 Dis, 2000 untuk memberi taklimat kepadanya mengenai bon itu tetapi sebelum dapat berbuat demikian, Bank Negara telah bertindak terhadap beliau pada 22 Disember.

Bagi Mohamad Aminuddin, Komathy berkata beliau telah menandatangani bon atas arahan Ahmadi kerana beliau yakin dan percaya bahawa Ahmadi mampu mendapatkan kebenaran yang diperlukan selepas pertemuannya dengan perdana menteri.

Sebaik sahaja selepas keputusan itu, Ahmadi yang kelihatan tenang, memberitahu pemberita: "Hidup mesti diteruskan dan saya kini hampir menjangkau 70 tahun sekarang. Saya tidak kisah untuk kembali kepada PUNB jika ada tawaran dan terus berkhidmat kepada negara."

Mohamad Aminuddin berkata beliau bersyukur kerana ujian terhadapnya telah berakhir selepas hampir 10 tahun sambil menambah bahawa beliau ingin memulakan kehidupan yang baru.

Ahmadi diwakili peguam Goik Kenzu dan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Mohamad Aminuddin oleh T. Suresh.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails