Wednesday, January 13, 2010

Langkah Bijak oleh SPRM !

Satu langkah bijak telah diumumkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru Datuk Abu Kassim Mohamed. Iaitu tiada mana-mana pihak termasuk media dibenar mendedahkan laporan berkaitan kes rasuah yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai sekarang.

Bijak.. bijak.. memanglah bijak kerana dengan cara ini SPRM dapat menutup semua kes yang melibatkan Ahli-ahli Parti politik yang berkuasa keatas SPRM dari pengetahuan masyarakat..

Dan kalau kes yang diadu melibatkan kepentingan SPRM dan Gembalanya, kes dengan mudah boleh disapu kebawah carpet kerana masyarakat tidak tahu..

Kata beliau mulai sekarang SPRM akan menguatkuasakan Seksyen 29(4) yang melarang pendedahan maklumatan kes siasatan. Hukumannya ialah 2 tahun penjara dan denda RM1,000.00



Bijak.. bijak..


Oleh G. Manimaran

PUTRAJAYA, Jan 13 – Amaran! Mulai hari ini tiada mana-mana pihak termasuk media boleh mendedahkan laporan berkaitan kes-kes rasuah yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini termasuklah kes-kes yang sedang disiasat oleh agensi itu.

“Kita mahu berlaku adil kepada mereka dituduh,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed di sini pagi ini.

“Apabila kita bercakap mengenai keadilan, keadilan harus untuk semua iaitu mereka yang sedang disiasat dan mereka yang membuat aduan,” kata beliau mengulas laporan Pengerusi Bersih Bangun Selangor (Bebas), Mohd Abdul Raof Mokhtar bahawa pihaknya membuat laporan kepada SPRM melibatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung kampus projek Universiti Teknologi Mara.

Mohd. Abdul berkata kerajaan Selangor telah mengarahkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) supaya melantik Khalid sebagai pengerusinya, kerana jika tidak, pembinaan kampus itu di sekeping tanah milik yayasan itu akan dihentikan.

“Saya rasa terdapat unsur ugutan terhadap YBK. Jadi kami ingin melaporkan perkara ini kepada SPRM untuk siasatan,” katanya Mohd. Abdul.

Abdul Raof berkata beliau sedia mengemukakan beberapa bukti kepada SPRM berhubung dakwaan itu.

Oleh itu tegas beliau, mulai sekarang SPRM akan menguatkuasakan Seksyen 29(4) Akta SPRM yang melarang pendedahan maklumat mengenai kes-kes yang dipanjangkan untuk dijalankan siasatan.

Jika sabit kesalahan individu terbabit boleh dihukum penjara dua tahun dan denda RM100,000.

Seksyen itu menyebut bahawa sesuatu aduan dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang kepada mana-mana pihak selain pegawai-pegawai suruhanjaya dan pendakwa raya sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas satu kesalahan di bawah akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu, melainkan jika pendedahan itu dibuat dengan persetujuan pendakwa raya atau seorang pegawai suruhanjaya yang berpangkat pesuruhjaya dan yang lebih tinggi.

Dalam pertemuan pertama dengan media selepas dilantik menerajui SPRM, Abu Kassim menjelaskan larangan baru ini dirasakan perlu bagi memastikan elemen kerahsiaan dan kejutan dipelihara dalam proses siasatan yang dijalankan.

“Hari ini, saya ingin membuat pengumuman bahawa pada masa-masa akan datang, kami akan menggunakan peruntukan ini bagi keadilan untuk semua pihak,” katanya.

Peruntukan ini akan diguna pakai ke atas semua pihak tidak kira sama ada mereka daripada parti kerajaan ataupun pembangkang.

“Ini kerana apabila ada sahaja aduan dibuat, akan ada satu perarakan besar di depan pejabat kami. Ini satu fenomena yang mesti kita perbaiki terlebih dahulu dalam masyarakat kita.

“Trend sekarang ialah memanggil media sebelum dan selepas membuat aduan kepada SPRM.

“Dengan mendedahkan kandungan aduan kepada media dan menunjukkan dokumen-dokumen relevan, ini akan menjejaskan siasatan yang dikendalikan oleh SPRM kerana elemen yang penting di SPRM ialah kerahsiaan apabila kami menyiasat mereka yang terlibat, untuk memberi kenyataan mereka,” katanya.

Abu Kasim menambah sangat sukar bagi mereka untuk bertindak dengan efektif apabila yang tertuduh mengetahui apa yang disiasat.

“Untuk pengetahuan anda, kebanyakan saksi yang terlibat dalam kes-kes rasuah merupakan kawan rapat orang yang sedang disiasat.

“Jadi saksi-saksi akan menghadapi situasi dilema untuk memberikan kenyataan kepada SPRM. Bayangkan betapa sukarnya bagi kami mendapatkan kerjasama daripada saksi,” katanya.

Ujar beliau SPRM mesti melindungi kesemua mereka yang terlibat dalam siasatan.

Abu Kasim menegaskan mereka yang mendedahkan maklmat awam berhubung kes-kes yang sedang disiasat akan didakwa.

“Ia satu jenayah... bukan sahaja kepada mereka yang membuat aduan tetapi juga mereka yang melaporkan termasuk anda semua (wartawan),” katanya.

“Di Hong Kong mereka ada peraturan yang lebih ketat dalam ini,” katanya.

Ketika ditanya bukankah ia salah satu halangan kepada kebebasan media, Abu Kassim memberitahu, apabila aduan siasatan didedahkan kepada umum pihaknya berhadapan dengan situasi mendapatkan dokuman termasuk ada yang hilang.

“Apabila SPRM tidak berjaya dalam siasatan, kami dituduh tidak cekap,” katanya.

Menjawab soalan lain bahawa media masih boleh membuat laporan bersumberkan aduan polis, beliau menambah, kes-kes rasuah adalah berbeza berbanding kes jenayah.

“Rasuah adalah berbeza daripada kes-kes jenayah kerana ia melibatkan elemen kerahsian. Ia melibatkan imej orang yang terlibat.

“Bukan saya mengatakan ia hanya dikuatkuasakan di sini tetapi juga ada di Hong Kong, yang merupakan agensi yang mempunyai undang-undang terbaik (di dunia),” katanya.

Jelas beliau, larangan terbaru ini bertujuan memberi perlindungan dan berlaku adil kepada tertuduh.

“Media boleh mendapatkan apa jua maklumat. Anda boleh menjadi wartawan siasatan yang baik dengan mendedahkan kepada kami kes-kes yang kami tidak siasat.

“Tetapi jangan siasat kes-kes yang kami sedang menjalankan siasatan,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails