Thursday, January 7, 2010

Kalimah ALLAH : Pendirian PAS menyusahkan UMNO.

PAS berjaya menampilkan imej yang "sederhana" ketika berdepan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah, berbanding dengan UMNO yang dianggap semakin "ekstrem" posisinya. Malah, pendirian yang diumumkan pada malam 4 Januari, selepas mesyuarat lajnah biro politik PAS itu menerima pujian daripada masyarakat bukan Islam.

PAS mengambil pendirian bahawa "penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi", tetapi mengingatkan bahawa "penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan", malah "dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat". 【Kenyataan media PAS

Pendirian sedemikian bukan sahaja meletakkan satu garis untuk membezakan antara PAS dengan UMNO, malah meletakkan parti komponen Barisan Nasional selain UMNO di satu kedudukan yang agak sukar. Misalnya, MCA dan Gerakan yang selama ini berkempen dengan "melabelkan PAS sebagai parti politik yang ekstrem", kini terpaksa berdepan dengan "sekutu" yang kelihatan lebih ektrem daripada "musuh".

Parti komponan BN terasa bahang

Pendirian PAS ini disambut secara positif oleh bukan muslim. Misalnya, pemerhati politik, Jason Leng Kek Mun mempersoalkan "Siapa yang lebih ekstrem sebenarnya?"

Dalam blognya, Jason menulis "PAS digambarkan sebagai ekstrem, konservatif, kolot dan fanatik oleh MCA dan Gerakan," sebelum mempertikaikan, "kalau dilihat kontroversi kalimah Allah yang berlaku kebelakangan ini, siapa sebenarnya yang memainkan isu ini? Siapa yang membuat kecoh? Siapa yang menghasut?"

Malah, Jason memanjangkan kepada beberapa isu yang berlaku beberapa tahun kebelakangan, "Siapa yang mengugut untuk membakar Dewan Perhimpunan?(Isu Suqiu) Siapa yang kata bukan Melayu mengancam Melayu? Siapa yang menjulang keris tanpa mempedulikan perasaan kaum lain?"

Beliau memberi jawapannya di akhir tulisan tersebut, iaitu UMNO. Malah, beliau sempat untuk mengusik MCA dan Gerakan, dengan dakwaan bahawa realiti ini hanya tidak difahami oleh kedua-dua parti komponan BN ini.

Khalid Samad dipuji

Sementara itu, pendirian Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin kontroversial, Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam-PAS) turut mendapat penilaian baik daripada masyarakat bukan Islam. Menurut temuramah Malaysiakini edisi bahasa Cina dengan beberapa tokoh agama dan pemerhati politik, Nik Aziz dan Khalid Samad dipuji kerana menampilkan imej yang memperlihatkan "keterbukaan".

Ahli parlimen Bukit Bendera-DAP, Liew Chin Tong juga memberi pujiannya kepada PAS, bahawa ramai antara pemimpin PAS yang menafsir soal agama dari perseptif yang lebih luas, dan bukannya melihat isu dari perspektif perkauman yang sempit.

Selain itu, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD), Khalid Jaafar juga mengganggap bahawa pendirian PAS ini adalah berdasarkan al-Quran. Ketika ditemuramah therocknews, laman internet bahasa Cina, Khalid Jaafar memuji pendirian PAS yang membenarkan bukan muslim untuk menggunakan kalimah Allah, menunjukkan bahawa PAS mendefinisi maksud Quran dengan tepat.

Khalid Jaafar juga membidas kejahilan UMNO dalam isu ini, dan menganggap UMNO akan mencungkil ketidakpuasan rakyat seandainya meneruskan tindak tanduk sedemikian.


Lim Hong Siang

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails