Tuesday, January 5, 2010

Kalimah ALLAH : Mengapa ianya penting kepada KRISTIAN.

Dalam agama Kristian, Allah tidak diiktiraf sebagai Tuhan sebaliknya terdapat tiga tuhan, tetapi dalam konteks Sabah dan Sarawak mereka memasukkan perkataan Allah sebagai Tuhan mereka.

19 Muharram 1431H
Ahmad Baei Jaafar

Setelah sekian lama penganut Kristian di Sabah dan Sarawak diperkenalkan perkataan Allah melalui majalah mingguan Herald, baru Kerajaan Persekutuan sedar dan segera mengharamkan pengguna perkataan itu awal tahun lalu. Namun, pada 16 Feb 2009, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang menggunakan perkataan "Allah" dalam majalah itu adalah haram.

Hampir setahun isu itu berjalan melalui proses undang-undang, namun umat Islam termasuk pemimpin negara tidak berbuat apa-apa. Barangkali benarlah kata Tun Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri bahawa orang Melayu mudah lupa. Tetapi apabila Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan, Herald berhak menggunakan perkataan itu, sekali lagi umat Islam bangun membantah.

Entah sampai bila umat Islam dan pemimpinnya mahu bersikap begitu. Hari ini kita lihat mereka bersemangat menentang, tetapi setelah isu itu diredakan dengan penangguhan pelaksanaan, umat Islam kembali tidur semula. Isu itu dilupakan seketika tanpa melakukan apa-apa tindakan susulan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menggunakan peruntukan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, untuk membenarkan Herald menggunakan perkataan Allah bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Menurutnya berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan "Allah" untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Mereka sedar, penggunaan perkataan Allah untuk menyebarkan agama kepada orang Islam satu kesalahan, tetapi apa jaminan perkataan itu tidak disalahgunakan? Kalau perkataan Allah untuk tujuan keagamaan, apakah Kristian mengiktiraf Allah sebagai tuhan?

Perlembagaan Persekutuan
Keputusan hakim dalam kes di atas berdasarkan Perkara 11 dan 12 perlembagaan. Persoalannya, tepat atau tidak keputusan itu? Tetapi sejauhmana umat Islam di negara ini memahami peruntukkan Perkara 11 dan 12 itu? Barangkali ramai yang tidak sedar kepentingannya untuk umat Islam?

Maka di kesempatan ini saya mengajak anda untuk memahami peruntukan Perkara 11 dan 12 sekali gus menjawab persoalan mengenai isu perkataan Allah. Di sini saya bentangkan dua Perkara tersebut sepenuhnya.

Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.


(2) Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri.

(3) Tiap-tiap kumpulan agama berhak:
(a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri;
(b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan
(c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.

(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

(5) Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral.

Perkara 12. Hak berkenaan dengan pendidikan.
(1) Tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir:

(a) dalam pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam, dan, khususnya, kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi; atau

(b) dalam memberikan bantuan kewangan daripada wang sesuatu pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada disenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).

(2) Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

(3) Tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri.

(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Huraian
Perkara 11(1) membenarkan semua rakyat Malaysia menganuti dan mengamalkan agamanya. Rakyat Malaysia dibenarkan menganut agama yang dia kehendaki dan yakini dan mereka boleh mengamalkan ajaran agamanya. Maknanya apa sahaja yang ada dalam ajaran agama boleh diamalkan tanpa ragu dan bimbang.

Umat Islam yang tidak memahami peruntukan tidak sanggup melakukan ajaran Islam dan tidak mengamalkan ajarannya sepenuhnya. Malah ada yang takut hendak melakukan ajaran Islam secara berterus terang. Berbeza dengan penganut Kristian mereka berani mengambil peluang itu. Malah yang bukan termasuk dalam ajarannya juga dimasukkan sebagai ajarannya.

Dalam agama Kristian, Allah tidak diiktiraf sebagai Tuhan sebaliknya terdapat tiga tuhan, tetapi dalam konteks Sabah dan Sarawak mereka memasukkan perkataan Allah sebagai Tuhan mereka. Jelas di sini, penggunaan perkataan Allah bagi mereka adalah bertentangan dengan Perkara 11(1).

Manakala Perkara 11(4) memberi hak kepada kerajaan negeri menyekat atau mengawal apa-apa ajaran atau doktrin dalam kalangan umat Islam. Maknanya kerajaan negeri boleh menyekat penyebaran ajaran sesat dan mengawal umat Islam agar tidak terpengaruh dengan ajaran sesat itu.

Melalui perkara ini juga kerana negeri boleh menghalang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Maka dengan peruntukan ini umat Islam akan selamat daripada pengaruh ajaran agama lain apatah lagi ajaran sesat. Namun dalam keadaan itupun ramai juga umat Islam yang tersesat dalam beragama. Bayangkan kalau tiada peruntukan itu langsung, akan lebih ramai umat Islam yang tersesat.

Perkara 12 tidak membenarkan ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, bangsa dan sebagainya. Mereka diberi hak yang sama dalam pendidikan. Malah perkara 12(2) membenarkan mereka menubuhkan badan agama, sekolah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun peruntukan itu membenarkan kerajaan negeri menubuhkan institusi dan badan Islam untuk umat Islam di samping usaha individu ke arah yang sama. Peruntukan ini adalah sesuai dengan Islam adalah agama persekutuan.

Melihat kepada peruntukan ini, sepatutnya umat Islam negara ini lebih maju dalam agama dan lain. Kita boleh buat apa sahaja untuk Islam dan umatnya. Tetapi sayang, peluang ini tidak diambil sepenuhnya oleh umat Islam, sebaliknya orang bukan Islam berlumba-lumba memajukan agamanya walaupun jelas tidak ada dalam agama mereka yang asal.

Sedarlah umat Islam, bangunlah daripada tidur yang panjang. Kita tidak perlu halang orang lain beragama tetapi kita sendiri harus tingkatkan iman dan amal dalam beragama.


Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails