Saturday, January 16, 2010

Kalimah Allah : Mana boleh ada 2 undang-undang - JAKIM

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 16 — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak harus menggunakan lagi kalimah “Allah” di gereja masing-masing untuk merujuk kepada Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu Jakim juga berpandangan tidak harus ada dua set undang-undang dan peraturan dalam menguatkuasakan soal larangan penggunaan kalimah tersebut.

Ketika dihubungi , Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang sedia ada bagi mengelakkan perkara-perkara yang bermasalah berlarutan.

Pandangan itu berbeza dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Kenyataan Nazri itu, yang dilihat sebagai usaha terbaru berkompromi untuk mengurangkan ketegangan kaum, juga dikritik pemimpin-pemimpin gereja dari Semenanjung serta dari Sabah dan Sarawak.

Justeru jelas Wan Mohamad, oleh kerana sudah ada peraturan mengenai perkara sedemikian, maka adalah tidak wajar kalimah “Allah” digunakan oleh pihak gereja.

“Dalam apa pun dasar kita, kita seharusnya menghormati keputusan jemaah menteri walaupun ada undang-undang peringkat negeri.

“Kalau ikut semangat menghormati undang-undang, keputusan sudah ada di peringkat nasional, mereka tidak sepatutnya gunakan (kalimah Allah),” kata beliau.

Wan Mohamad memberitahu keputusan hanya membenarkan gereja di Sabah dan Sarawak tidak akan menyelesaikan masalah ekoran mobilisasi dan penghijrahan rakyat dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

“Itu pun tidak menyelesaikan masalah... kita di negara yang kecil ini perlu ada undang-undang dan peraturan yang standard seperti mana dalam semua urusan yang lain.

“Kita perlu lebih sistematik... tidak patut ada dua set undang-undang. Selain daripada undang-undang negeri, ada peraturan peringkat nasional (keputusan Kabinet) dan kita kena lihat aspek ini secara lebih menyeluruh,” katanya.

Jakim yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam. Nazri pula merupakan salah seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Wan Mohamad merujuk kepada keputusan mesyuarat Kabinet 16 Mei 1986 yang telah memutuskan bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara beberapa kalimah yang dilarang penggunaannya oleh mereka bukan beragama Islam.

Malah penggunaan kalimah Allah, baitullah, solat dan kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam di bawah Warta P.U (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Dis 1986.

Pada 3 Jan 2008, Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali Islam daripada menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan akhbar masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama dalam mesyuarat pada 18 Okt dan 1 Nov 2006.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan menguatkuasakan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang melarang orang bukan Islam daripada menggunakan secara bertulis atau lisan ungkapan dan perkataan yang dilarang.

Semalam beberapa akhbar dari Sabah dan Sarawak termasuk The Borneo Post, memetik Nazri berkata kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Kenyataan itu dilihat sebagai langkah terbaru pihak berkuasa untuk menenangkan masyarakat Kristian di kedua-dua negeri itu yang selama ini menggunakan perkataan tersebut di gereja dalam Bahasa Malaysia.

Nazri berkata perkataan itu secara tradisi telah digunakan di kedua-dua negeri dan umat Islam di sana sudah biasa dengan amalan tersebut.

Pertikaian mengenai penggunaan perkataan “Allah” bermula tahun 2007 apabila Kementerian Dalam Negeri mengenakan arahan melarang yang diluluskan pada 1986 ke atas bukan Islam daripada menggunakan beberapa perkataan Arab ketika ia memperbaharui permit akhbar mingguan Herald.

Pada 31 Dis lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan perkataan kalimah “Allah” oleh akhbar mingguan Herald.

Pelaksanaan keputusan mahkamah itu kini ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.

Nazri yang ditanya mengapa perlu ada dua peraturan mengenai penggunaan perkataan Allah di antara penganut Kristian di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak berkata, ia bukan satu amalan yang unik.

Pandangan Nazri ini muncul ketika Sarawak sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Julai 2011.

Bagaimanapun Nazri menekankan bahawa umat Islam di Semenanjung tidak boleh menerima amalan itu kerana perkataan 'Allah' tidak digunakan oleh penganut Kristian dalam upacara mereka sehingga baru-baru ini sahaja dan oleh itu mereka mempersoalkan motif di sebalik usaha menggantikan Tuhan dengan “Allah”.

Sehubungan itu Wan Mohamad menambah, gereja Katolik tidak perlu menggunakan kalimah “Allah” kerana ramai di kalangan masyarakat itu pun tidak bersetuju dan mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza dalam isu ini.

“Saya, kalau nak beri pandangan lebih tegas, saya berpendapat bahawa yang akan keliru (jika menggunakan perkataan “Allah”) bukannya umat Islam, yang akan terkeliru ialah penganut agama Kristian itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, “itu sebabnya kita mengelakkan daripada menggunakan perkataan-perkataan ini.”


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails