Sunday, January 17, 2010

Kalimah Allah : Jangan bimbang, kata Nazri kepada Borneo Post

Kerajaan beri jaminan kepada rakyat Sarawak dan Sabah berhubung isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Rakyat di Sabah dan Sarawak tidak perlu bimbang terhadap apa juga keputusan mahkamah berhubung isu larangan penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, ketika memberi jaminan itu menegaskan bahawa tidak ada peruntukan dalam undang-undang negeri yang mengharamkan perkataan itu.

“Kedua, berasaskan budaya bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak sudah biasa dengan keadaan di sana dan apa yang dilakukan sejak puluhan tahun.., teruskanlah,” katanya dalam temuramah eksklusif bersama Utusan Borneo, The Borneo Post dan Oriental Daily News di pejabatnya di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Temuramah itu diketuai oleh Pengurus Besar Operasi The Borneo Post, Utusan Borneo dan See Daily News, Phyllis Wong dan disertai bersama Pengarang Berita Utusan Borneo Sabah, Lichong Angkui; Editor Eksekutif The Borneo Post Sarawak, Francis Chan dan Timbalan Ketua Editor Oriental, Ding Lee Leong.

Mohd Nazri berkata Sabah dan Sarawak tidak mempunyai enakmen melarang penggunaan perkataan Allah sebagaimana di Wilayah Pesekutuan, Melaka dan Pulau Pinang, berbanding negeri-negeri lain yang mempunyai sistem beraja.

Oleh itu, katanya, perkara berkenaan sebenarnya tidak menjadi isu di Sabah dan Sarawak, justeru rakyat di kedua-dua negeri berkenaan tidak perlu bimbang.

“Tetapi saya tidak bersetuju kalau atas asas bahawa di Semenanjung ini juga sudah mempunyai orang Iban dan Kadazan, maka mereka mahu kita ikut cara mereka, itu saya tidak setuju.”

“Masuk kandang kambing, kita mengembik. Seperti juga apabila saya ke Sabah dan Sarawak, saya dituntut untuk menghormati budaya di sana. Maka saya juga minta mereka dari Sabah dan Sarawak, bila datang ke Semenanjung, mereka kena ikut cara di sini.

“Ini soal menghormati antara satu sama lain. Bila kita nak orang ikut cara kita saja, itu yang jadi masalah,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi yang tercetus berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu, yang membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah.

Pelbagai pihak membantah keputusan itu atas alasan ia tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan dikatakan bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang digubal berasaskan Perkara 11(4) Perlembagaan Negara.

Berikutan itu, berlaku insiden serangan ke atas beberapa gereja di seluruh negara dan ia dikaitkan sebagai lanjutan daripada keputusan mahkamah itu.

Kementerian Dalam Negeri sudahpun memfaikan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Sambil berharap semua pihak menunggu keputusan mahkamah berhubung rayuan yang difailkan, Mohd Nazri yakin bahawa akan ada penghujung dan penyelesaian terhadap kontroversi yang tercetus.

“Ya..mesti ada penghujung. Kita tunggu keputusan mahkamah. Kita tidak ada pilihan sebab perkara ini telah dibawa ke mahkamah.

“Tetapi dalam konteks Sabah dan Sarawak, saya kata tak payahlah (jadi isu).., penggunaan perkataan itu merupakan sebahagian daripada cara orang di sana, lagipun orang Islam di Sabah dan Sarawak telah terbiasa dan bagi mereka, tidak ada apa-apa masalah sebenarnya, cuma di Semenanjung ini saja yang berlaku,” katanya.

Mohd Nazri juga berkata saranan supaya digugurkan rayuan terhadap kes berkenaan, sebaliknya ia diselesaikan menerusi perbincangan bagi mengelak kemelut terus berpanjangan, sudah terlambat.

“Untuk menghentikan proses undang-undang ini sudah terlambat. Ini kerana kes ini sudahpun berada di mahkamah, justeru biar mahkamah menentukan penyelesaiannya. Kita sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan, maka kita hendaklah mematuhi proses ini.

“Bagi saya sebagai menteri undang-undang, perkara ini sudah berada di mahkamah, saya rasa mahkamah mesti selesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan tetap bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

“Undang-undang tetap undang-undang. Mereka yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya sebagai merujuk tindakan pelbagai pihak yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Mohd Nazri juga meminta semua pihak termasuk pemimpin politik supaya mengurangkan bercakap mengenai isu itu kerana ia tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, sememangnya ada pihak-pihak tertentu yang cuba menanguk di air keruh berhubung isu tersebut, justeru kerajaan tetap bertegas menanganinya.

Borneo Post

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails