Wednesday, January 6, 2010

Kalau kita dah BUTA, janganlah kita nak Butakan orang lain pulak..

Ada orang berpendapat isu kalimah Allah tidak boleh ditangani seperti orang buta meraba gajah. Gambaran gajah bagi orang buta bergantung kepada mana satu anggota gajah yang dipegangnya.

Pendapat itu benar. Namun, ada beberapa persoalan yang berlegar di kepala.

Adakah orang Islam di Malaysia masih seperti orang buta meraba gajah? Adakah tidak ada di sana orang celik yang mampu menjelaskan kepada orang buta mengenai hakikat sebenar gajah?

Benar, kita bimbang keputusan mahkamah yang terbaru bakal menjadi duluan mengikat kepada keputusan mahkamah pada masa hadapan. Soalnya, adakah kita yakin bahawa keputusan mahkamah yang lebih tinggi selepas ini bukan seperti sekarang?

Kalau seperti sekarang juga, bagaimana?

Dan, katakan keputusan mahkamah selepas ini adalah berbeza dengan keputusan mahkamah sekarang, adakah orang Islam sudah tidak lagi menjadi sibuta yang meraba gajah?

Justeru, isu kalimah Allah bukan dapat dirungkai oleh mahkamah. Apa pun keputusan mahkamah, tanggungjawabnya tetap terpulang ke atas pundak orang Islam juga.

Raja-raja kita adalah orang Islam. PM, TPM, sebahagian besar menteri, sebahagian besar timbalan menteri, MB, sebahagian besar KM, sebahagian besar exco, sebahagian besar pegawai kanan kerajaan, general tentera, Ketua Polis Negara, Tim KPN, dan… adalah orang Islam.

Kita ada berbelas mufti, timbalan mufti, jabatan agama, JAKIM, YADIM, IKIM, puluhan universiti Islam, fakulti pengajian Islam dengan ratusan profesornya, semuanya adalah orang Islam.

Itu belum termasuk panelis Halaqah, Forum Perdana Ehwal Islam,… mana mungkin ada yang tidak Islam.

Dengan semua itu, masih ramai lagi orang Islam yang menjadi sibuta meraba gajah?

Kita boleh marah kepada orang bukan Islam menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi adakah kemarahan kita itu menguntungkan Islam atau kemarahan itu menjadikan wajah Islam semakin hodoh?

Wajah Islam bukan menjadi hodoh kerana diconteng oleh orang bukan Islam yang menuntut apa yang mereka anggap sebagai hak mereka, tetapi menjadi hodoh kerana orang Islam sendiri. Dia menyangka dia menyolek Islam dengan tindakannya, pada hal dia menconteng arang ke muka Islam.

Lupakah kita kepada penjelasan al-Quran bahawa Allah akan mengganti kaum lain sebagai pembawa Islam sekiranya kaum yang sedia ada tidak lagi berkemampuan membawa Islam?

Apa kita ingat Islam adalah hak mutlak orang Melayu? Atau, kita syok sendiri kerana dilahirkan sebagai orang Islam? Atau, kita ingat Islam adalah hak mutlak dan ekslusif orang Islam sahaja?

Bagaimana kalau ada orang bukan Islam ingin mengamalkan Islam dalam kehidupannya? Kita ingin melarangnya? Kalau ada orang bukan Islam ingin mengaku Allah sebagai Tuhannya, kita menafikannya?

Harap-harap kita tidak menjadi penghalang petunjuk Islam daripada sampai kepada orang lain. Jangan kerana kita buta, kita juga mahu orang lain turut buta seperti kita.


Oleh Zolkharnain Abidin

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails