Tuesday, January 19, 2010

'Jangan heret kami, ini tanggungjawab Umno’ - PAS

“Pihak Umno yang bertanggungjawab kepada segala masalah ini, yang patut bertanggungjawab ialah Umno, bukannya parti lain,” kata Salahuddin Ayub.

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 19 — Naib presiden PAS Salahuddin Ayub “menolak” jemputan Tan Sri Rozali Ismail dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor yang mahu menghimpunkan pemimpin politik Melayu termasuk pembangkang bagi membincangkan kemelut politik dan ekonomi orang Melayu dengan menegaskan, apa jua usaha sedemikian harus dilihat dari sudut lebih besar tanpa mengira kaum.

“Kita akan memberi sumbangan lebih besar, mengatasi sempadan agama dan kaum atas semangat Pakatan Rakyat... kita akan melihat dalam gambaran yang lebih besar,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sambil menegaskan situasi ekonomi dan politik sekarang sebenarnya berpunca daripada tindak-tanduk pentadbiran Umno selama 50 tahun yang lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini memberitahu, “jangan Tan Sri Rozali berpura-pura tidak tahu.”

“Jangan hendak heret kami, PAS dalam isu ini. Jangan hendak nak heret parti lain dalam masalah ini.

“Pihak Umno yang bertanggungjawab kepada segala masalah ini, yang patut bertanggungjawab ialah Umno, bukannya parti lain,” katanya.

“Kita akan melihat dalam gambaran yang lebih besar... kami bukan sahaja mahu memperkukuhkan ekonomi orang Melayu, yang lebih adil tetapi juga memastikan manfaat dirasai oleh kaum lain... biar kita bina kaedah untuk semua,” katanya.

Salahuddin (gambar) diminta pandangannya mengenai kenyataan Rozali, yang merupakan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor bahawa wakil dewan itu Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (Gapums) akan menemui para pemimpin Melayu dari semua parti termasuk pembangkang berhubung isu yang berkait dengan bangsa Melayu.

Rozali menjelaskan pertemuan itu penting bagi membincangkan beberapa isu termasuk kedudukan dan hak keistimewaan peniaga serta usahawan Melayu yang banyak terjejas oleh dasar kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Beliau berkata, selain itu, isu perpecahan yang semakin berlaku di kalangan orang Melayu juga akan dibincangkan terutama membabitkan kemelut dalam politik serta kedudukan ekonomi orang Melayu yang semakin lemah.

Katanya, DPMSS melalui Dewan Pemuda dan Wanita serta anggota Gapums mahu mendapatkan penjelasan dan menyampaikan mesej kepada semua pemimpin Melayu tidak kiralah dari Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi kepentingan bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik.

“Kita mahu tahu sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan apakah yang mereka boleh lakukan dan akan lakukan dalam mempertahankan hak orang Melayu memandangkan beberapa dasar yang dibuat kadangkala tidak jelas,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya menolak jemputan itu bulat-bulat, Salahuddin menambah, “kita tengok dulu.”

“Itu terpulang kepada parti... bagaimanapun pada pandangan saya, Umno harus bertanggungjawab kepada kemelut semasa,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails