Tuesday, January 26, 2010

Guling kerajaan Umno-BN untuk selamatkan Malaysia !

Kelangsungan Malaysia dan rakyatnya semakin terancam dan perlu diselamatkan daripada pemerintahan rasuah kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Najib Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat bahawa pertikaian mengenai masa depan negara bukan lagi berpaksi kepada perbezaan politik tetapi atas kesedaran Malaysia di ambang kehancuran di segi politik, ekonomi dan sosial.

Dengan pengangguran mencecah ratusan ribu orang, rizab antarabangsa negara makin susut, pengaliran modal asing semakin ketara dan rasuah serta penyelewengan kuasa terus bermaharaja lela, Anwar berkata Malaysia tidak lagi boleh “menanggung” sebuah kerajaan korup seperti Umno-BN.

“Saya perlu tegaskan di sini, Malaysia sekarang perlu diselamatkan, pemimpin Umno-BN sekarang korup,” kata Ketua Pembangkang itu, dipetik dari keluaran terbaru bilangan 217, Suara Keadilan.

Beliau kesal semua masalah tenat negara ditutup media arus perdana yang sebaliknya menggambarkan Malaysia dalam kesejahteraan.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia jauh merosot berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand manakala rizab negara terus merudum.

Malaysia di segi ekonomi sudah kalah dengan Indonesia, Thailand,Brunei. Dengan Singapura dan Taiwan sudah lama ketinggalan. Sebab apa? Pemimpin rasuah,” katanya.

Anwar berkata, demokrasi Malaysia sudah rosak berikutan institusi kehakiman dan kepolisan tunduk kepada telunjuk badan eksekutif. “Keselamatan, pendidikan negara juga dalam bahaya. Enjin pesawat hilang, kualiti universiti makin menurun,” kata Anwar.

Hakikatnya ialah, Malaysia sarat dengan masalah yang berpunca daripada amalan rasuah pemimpin Umno-BN yang membolot kekayaan negara dan meminggirkan rakyat.

Anwar berkata rakyat harus menyedari keperluan mendesak untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan Umno-BN.

Ekonomi negara yang begitu rapuh semakin tertekan dengan penyelewengan seperti skandal PKFZ membabitkan RM12 bilion manakala rakyat terus ditanam dengan sentimen perkauman sehingga membawa kepada serangan terhadap gereja dan surau baru-baru ini.

Cubaan pemerintah menutup isu-isu seperti kecurian dua enjin pesawat pejuang ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan kini mengundang kemungkinan Malaysia dikenakan sekatan tertentu oleh Amerika Syarikat.

Pada masa sama, sumber kewangan Petronas diperah untuk membiayai pelbagai projek Umno-BN atas nama 1Malaysia walaupun keuntungan syarikat minyak itu merosot.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, masalah yang dihadapi negara bukan lagi berkaitan soal politik semata-mata tetapi menyentuh segenap aspek kehidupan harian rakyat.

Beliau berkata, Malaysia berdepan masalah fizikal dan elemen tidak nyata yang mencengkam negara ini sekian lama tanpa penyelesaian konkrit.

“Kisah enjin pesawat hilang, stadium runtuh boleh dianggap masalah fizikal tapi yang lebih berat ialah masalah yang cuba ditutup kerajaan Umno-BN.

“Ia termasuk masalah pelaburan asing yang merudum, rizab negara merosot, keamanan dan keselamatan, ketidakpercayaan masyarakat dunia terhadap Malaysia. Ini lebih memberi kesan.

“Contohnya, Laporan UBS Investment Research menyaksikan Malaysia sebagai negara yang mengalami penurunan rizab antarabangsa paling teruk dalam masa 12 bulan lalu di rantau Asia,” katanya.

Dulu, beliau berkata, pembangkang tiada bukti kukuh mengenai kelemahan urus tadbir BN tapi kini segalanya terbentang walaupun cuba dinafikan pemerintah.

Dalam aspek pelaburan langsung asing (FDI), katanya, pelabur memiliki persepsi negatif terhadap Malaysia berikutan rating antarabangsa buruk.

Azan berkata, situasi yang dialami Malaysia hampir sama dengan senario ketika pemerintahan Suharto di Indonesia apabila semua masalah negara tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

“Hal ini perlu dijelaskan kepada rakyat. Kalau keadaan ini berterusan, kita juga akan jadi Indonesia. Pendek kata, kita bukan melangkah ke depan tapi ke belakang,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad berkata, Pakatan Rakyat tidak pernah berasa seronok atas kegagalan BN mengurus tadbir negara lantaran menyedari kesan itu memberi kesan langsung kepada rakyat.

Katanya, kegagalan ini hanya akan menjadikan Malaysia umpama Zimbabwe dan Uganda walaupun Malaysia secara relatif adalah sebuah negara kaya berasaskan sumber.

Beliau menganggap Najib gagal memberi sebarang isyarat positif dalam memajukan pembangunan negara manakala tahap daya saing, pertumbuhan ekonomi dan pendapatan per kapita Malaysia masih di paras rendah.

“Najib gagal sama sekali. Indeks jenayah meningkat, rasuah berleluasa, kualiti pendidikan merosot dan institusi demorasi terus tercemar.

“Jadi, kita harus menyelamatkan Malaysia dari kepimpinan yang hilang daya juang, hilang arah dalam mempertahan maruah negara,” katanya.

Ketua Pemuda Dapsy, Liew Chin Tong berkata, hanya rakyat dapat menentukan masa depan negara, sama ada Malaysia terus membangun, statik atau kembali mundur.

Beliau berkata, walaupun pemimpin BN jelas tidak menunjukkan kesanggupan politik untuk memperbetulkan pelbagai permasalahan negara kerana didorong oleh pertimbangan yang sempit.

“Tiada ada kesungguhan politik (political will) dalam menyelamatkan negara. Ini yang kita kesal. Sebab itu, pembaharuan tidak tulen dan tidak menyeluruh.

“Semua masalah, baik bersangkut paut soal ekonomi, pendidikan, pertahanan, institusi kehakiman dan hak asasi, berpunca dari rasuah dan salah guna kuasa.

“Mereka sudah terbiasa dengan amalan itu dan tiada upaya meninggalkan tabiat yang akhirnya merugikan rakyat seluruhnya,” kata beliau.

Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, Pakatan Rakyat sebaliknya bersedia melakukan reformasi menyeluruh kerana yakin Malaysia mampu diselamatkan, dengan syarat rakyat menamatkan era pemerintahan korup Umno-BN.


freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails