Sunday, January 10, 2010

Gereja, pondok pengawal sekolah di Taiping dilempar bom api

Dua insiden cubaan membakar berlaku membabitkan gereja All Saints dan sebuah sekolah di Taiping awal hari ini selepas dilempar dengan bom api, kata Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah.

Manakala akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau pula menghantar SMS berita bahawa polis Melaka mengesahkan bahawa Gereja Baptist Melaka di Durian Dauan, telah disembah dengan cat hitam.



Di Taiping, tiada kerosakan pada gereja All Saints (foto) yang terletak di Jalan Taming Sari, Taiping itu tetapi hanya kerosakan kecil dilaporkan pada pos pengawal Sekolah Menengah Convent, kata Zulkifli.

Insiden itu hanya disedari penjaga gereja itu pada pukul 7.30 pagi, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Polis yang membuat siasatan selepas menerima aduan, mendapati dua kesan tompok hitam di dinding gereja serta menemui dua botol yang telah pecah dipercayai digunakan dalam kejadian itu, katanya.



Dalam kejadian di Sekolah Menengah Convent, hanya pos pengawal sekolah tersebut mengalami kerosakan kecil selepas dilempar dengan bom api dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi dan disedari oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit, katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini belum ada suspek yang ditahan berikutan insiden itu dan polis sedang menyiasat serta mengambil bahan-bahan bukti yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya siasaatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai dilakukan oleh individu yang nakal dan tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada isu yang sedang berlaku sekarang dan bukan dirancang oleh mana-mana organisasi.

Katanya polis memberi perhatian serius dan meningkatkan pemantauan ke atas rumah-rumah ibadat di negeri ini bagi memastikan keadaan terkawal dan menasihatkan orang ramai agar tidak panik.



Sementara itu, menurut wartawan Malaysiakini, Humayun Kabir, Gereja St Louis yang terletak bersebelahan SM Convent juga dibaling dengan botol mengandungi bahan bakar, tetapi hanya mengakibatkan kerosakan kecil.

Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, polis belum mengesahkan insiden di Gereja St Louis itu.

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails