Tuesday, January 19, 2010

Bocor maklumat : Husam mahu dalang didedah.

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 18 — Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar) mahu agar siasatan dijalankan berhubung kebocoran maklumat mengenai kompleks perniagaan Bazar Tok Guru yang didakwa kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan RM23 juta untuk membelinya semula.

Husam yang sejak kebelangan ini dituduh cuba membelakangi kepimpinan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang prasangka terhadap beliau memandangkan blog yang membawa maklumat itu merupakan ‘orang kuatnya’.

Maklumat kononnya kerajaan negeri mengalami kerugian disiarkan oleh penulis blog Kickdefella Jumaat lalu, tiga hari selepas mesyuarat Exco.

Kickdefella mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kerana membeli projek kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Nik Abdul Aziz.

“Bagaimana maklumat ini bocor? Ia satu sudut bagaimana isu ini boleh dilihat, kalau maklumat ini dirasakan rahsia atau perlu dirahsiakan,” kata beliau dalam tulisan terbaru blognya.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II berkata isu berkenaan telah dibincangkan oleh sebuah jawatankuasa yang dibentuk kerajaan negeri.

“Pertama, ia dibincang oleh Jawatankuasa. Jawatankuasa ini ada ahlinya. Pemaju juga mungkin dijemput untuk berbincang dan persetujuan mereka tentulah perlu.

“Kerana itu, mereka mungkin orang paling awal tahu tentang maklumat ini.

“Wakil PMBK juga mungkin hadir dan wakil ini mungkin pula perlu berbincang dengan rakan sejawatan mereka di PMBK. Mereka tahu tentang maklumat ini... ia kemudian dibincang dalam Exco,” katanya.

Husam menambah jika ‘kebocoran’ ini perlu disiasat beliau sangat menyokong kerana boleh mengelakkan ada mana-mana pihak menjadi mangsa permainan baik bernama sangkaan atau tudingan.

“Jalan yang paling mudah, rasa saya, ialah Tok Guru memanggil majlis dan dengan menggunakan apa-apa kaedah yang diajar oleh Islam, mencari orangnya. Ia boleh bermula dengan ahli Exco sendiri supaya ia tidak berpanjangan dan berterusan dalam prasangka,” katanya.

Jumaat lalu, Nik Aziz mengesahkan kerajaan negeri terpaksa membeli kompleks perniagaan Bazar Tok guru bernilai RM23 juta yang sedang dalam pembinaan daripada pemaju Sensa Timur kerana masalah teknikal.

Bagaimanapun, katanya harga bagi pembelian itu yang dibuat menerusi PMBK masih dalam peringkat rundingan dengan pihak pemaju.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks bazar yang sedang dalam pembinaan itu kerana masalah teknikal...untuk menjaga kepentingan peniaga,” kata Nik Aziz.

“Saya juga memberi jaminan peniaga yang dipindahkan dari Arkib Uda dan Pasar Lama MPKB akan diberi keutamaan memiliki tingkat bawah bazar berkenaan, sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.

Ekoran pendedahan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan dilapor meminta Nik Abdul Aziz menyiasat kebocoran maklumat tersebut kerana keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Bagaimanapun Kickdefella dalam komennya hari ini berkata, “namun begitu saya ingin tahu adakah ini (kenyataan Takiyuddin) adalah kenyataan rasmi PAS Kelantan dan pendirian rasmi PAS.

“Setahu saya barisan pembangkang sudah lama menentang penggunaan Akta Rahsia Rasmi kerana sebab-sebab yang mereka sendiri mengetahuinya.

“Apakah kali ini kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS mahu bersembunyi di sebalik tirai besi akta-akta yang mereka tentang sekian lama bagi menghalang rakyat mengetahui perkara yang sebenar?” katanya.

Kickdefella juga menambah beliau sedia disiasat dan sedia menerima hukuman cuma jika melakukan kesalahan.

“... cuma saya minta, demi kepentingan rakyat Kelantan, janganlah pula mereka yang ‘melakukan kesilapan teknikal’ hingga memaksa kerajaan negeri membayar pampasan untuk menjaga air muka Menteri Besar terlepas begitu sahaja sebab dia adalah menantu Menteri Besar Kelantan.

“Saya akrab dengan hampir semua barisan Exco kerajaan negeri Kelantan dan hampir kesemua mereka mempunyai nombor telefon saya.

“Oleh yang demikian, hampir semua mereka boleh dituduh sebagai suspek yang membocorkan rahsia kerajaan negeri kepada saya termasuklah Datuk Takiyuddin sendiri.

“Yang jelas, bukan Datuk Husam Musa yang memberi maklumat itu kepada saya,” katanya.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails