Sunday, January 17, 2010

Bila Anak Kecil Main Api.. Warga Emas Sebak!

Cuba hayati sebahagian dari lirik lagu propaganda UMNO ini yang sering dinyanyikan untuk membakar semangat kemelayuan ahli-ahli mereka.. kemudian bandingkan dengan berita dibawah..



Anak Kecil Main Api
Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Airmata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesama kita
Cita lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Warga emas sebak

ALOR GAJAH: “Tanah pusaka ini diwarisi turun temurun kepada tiga generasi daripada nenek saya, tetapi kerajaan negeri mahu mengambilnya tanpa memberi pampasan setimpal. Jadi, hak kami seolah-olah dinafikan.”

Projek komersial membabitkan keluasan kira-kira enam hektar itu dijangka membabitkan tanah kepunyaan 115 pemilik bagi mendirikan hampir 100 bangunan dan projek pembinaan dilakukan kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat swasta.

Khalijah berkata, dia sudah lama menetap di atas tanah pusaka berkenaan dan menolak bayaran pampasan diberi kerajaan negeri kerana dianggap tidak setimpal dengan nilai pasaran semasa berikutan harga ditawarkan terlalu rendah.

Lebih mengecewakannya, tindakan dilakukan juga dalam keadaan tergesa-gesa kerana kerajaan negeri tidak mahu berbincang, sebaliknya terus mengambil keputusan melakukan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.

Katanya, empat rumah selain empat rumah sewa dibina di atas tanah miliknya. Jika kerajaan mengambil tanah itu tanpa bayaran setimpal, anggota keluarganya tidak tahu ke mana mereka mahu pergi.

“Berdasarkan surat tawaran, mereka hanya akan membayar pampasan RM18,000 bagi setiap rumah dan RM95,000 bagi harga tanah, sedangkan syarikat penilaian swasta mendakwa pampasan untuk rumah sepatutnya adalah RM180,000 manakala tanah pula RM395,000.

“Saya bukan menghalang pembangunan yang cuba dilaksanakan kerajaan negeri, tetapi nilai pampasan diberi terlalu rendah, sedangkan ini (tanah pusaka) hak saya.

“Apatah lagi rumah ini menjadi tempat berkumpul keluarga kami sejak sekian lama,” katanya pada sidang akhbar membabitkan sebahagian besar daripada pemilik tanah berbabit di Kampung Kuala Ina, Pulau Sebang, dekat sini, semalam.

Warga emas, Noryah Abd Wahab, 80, yang juga pemilik tanah berkata, dia susah hati hingga dimasukkan ke Hospital Tampin, baru-baru ini, akibat sakit dada disebabkan memikirkan tanah pusaka miliknya akan diambil.- myMetro


Memang benar.. terbakar hatinya yang sepi, Airmata darah bercampur keringat , Bumi yang dipijak kini milik orang..

Walaupun tiada sengketa sesama kita, tanahnya telah diambil oleh mereka yang dipilih olehnya untuk menjadi kerajaan. Diambil atau dibeli darinya oleh bangsanya sendiri dengan harga yang tidak setimpal untuk dijual kepada orang lain..

Benarlah sarikata ini..
Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutup hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Untuk apa diulang-ulang menyanyikan lagu ini, kalau sekadar untuk membakar semangat ahli tetapi pemimpin-pemimpin mereka sendiri membeli secara paksa, kemudian menjual tanah bangsa sendiri, tanah yang diwarisi berkurun lamanya kepada bangsa lain dengan alasan untuk kemajuan..

Apakah demi kemajuan kita perlu mengorbankan warisan? Apakah kerana kemajuan kita perlu menjadikan warga emas itu merempat dibumi sendiri?

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails