Sunday, January 10, 2010

Bakar Gereja : Najib Kutuk, mereka membakar lagi, sehingga 7 buah kini!



Jan 10 - Tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran serangan pihak tidak bertanggungjawab setakat petang ini.

Bagaimanapun keadaan di seluruh negara adalah terkawal, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Berbanding gereja lain yang menjadi sasaran serangan bom petrol, gereja di Miri dilontar dengan batu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program motivasi pendidikan di bawah program Juara Rakyat di tapak ekspo Bukit Sentosa, Bukit Beruntung dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada rentetan kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, beliau berkata memang ada pihak tertentu yang cuba melakukannya, tetapi “sama ada ia berkisar kepada masyarakat setempat, itu akan saya maklumkan kemudian.”

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima secara total laporan media asing dan internet mengenai insiden membakar gereja kerana berita yang dilaporkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Hishammuddin berkata terdapat segelintir media asing yang memberi gambaran kurang tepat, malah menggembar-gemburkan kejadian itu seolah-olah keadaan di negara ini tidak terkawal.

Sehubungan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan taklimat kepada para perwakilan kedutaan asing di negara ini bagi menerangkan kedudukan sebenar isu tersebut.

“Kita kena beri penjelasan kepada masyarakat luar negara kerana ada warga kita di luar sana yang mahu tahu perkembangan sebenar kerana isu ini sering digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu, termasuklah apa yang diambil daripada Internet.

“Saya bimbang gambaran yang diberikan itu tidak tepat. Jadi KDN telah memanggil wakil daripada kedutaan dan saya sendiri akan berjumpa dengan duta-duta untuk menerangkan apa yang sebenarnya berlaku.

“Memandangkan mereka perlu memberi gambaran sebenar kejadian itu kepada kerajaan masing-masing, mereka perlu mendapat maklumat yang sahih daripada kerajaan,” katanya.

Di Pulau Pinang, kereta seorang paderi yang diletakkan berhampiran gereja di Bukit Tengah disimbah cat merah pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu disedari paderi berusia 40 tahun itu selepas selesai upacara sembahyang bagi penganut agama Kristian di sebuah gereja di tingkat dua kawasan rumah kedai di situ.

Ayub berkata dalam laporan polis, paderi itu tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan ugutan seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan satu kes perkahwinan yang dikendalikannya, minggu lepas.

Katanya siasatan sedang dijalankan termasuk melihat sama ada dua kejadian itu mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Sementara itu, Ayub berkata polis akan meningkatkan kawalan di semua gereja dan rumah ibadat dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails