Friday, January 8, 2010

Bakar Gereja, KP Selangor kata 4 Gereja, Musa Hassan kata 3 Gereja..

Apa punya cerita ni.. Sorang kata 4 Gereja.. Sorang lagi pulak kata hanya 3 Gereja, Satu Jabatan pun maklumat tak selari.. apa benda ni! Siapa yang membuat kenyataan palsu ni??

KUALA LUMPUR, Jan 8 – Gereja yang keempat di Lembah Klang didakwa telah diserang dengan molotov cocktail tetapi ia gagal meletup manakala pihak polis menafikan khabar angin kereta-kereta yang ada simbol Kristian di kawasan Bangsar di sini turut dirosakkan petang ini.

Pasukan polis menghantar anggota mereka untuk menjalankan siasatan di sebuah gereja di Kampung Subang, Selangor ekoran aduan premis itu turut diserang.

Tiga gereja telah diserang sejak tengah malam tadi ekoran keputusan mahkamah membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan “Allah”.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata molotov cocktail yang dibaling ke arah gereja di Kampung Subang itu tidak meletup.

Polis Kuala Lumpur juga telah mempertingkatkan kawalan di kawasan Bangsar selepas orang ramai melaporkan beberapa kereta yang mempunyai simbol agama Kristian dipecahkan cermin.

Bagaimanapun polis memberitahu tiada kereta dirosakkan dikesan setakat petang ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada sidang akhbar di pejabatnya petang ini mengesahkan hanya tiga gereja telah diserang setakat ini.

Ia merupakan sidang media kedua beliau hari ini.

Sejak tengah malam tadi, kata Musa, hanya gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di ibu negara, Church of Assumption di Petaling Jaya Old Town dan Life Chapel di Seksyen 17 juga di Petaling Jaya, telah diserang dan cuba dibakar.

Gereja Metro Tabernacle mengalami kerosakan teruk.

“Beliau (Ketua Polis Selangor) tidak memberitahu saya, jadi ia tidak berlaku,” kata Musa.

Malah Musa juga menafikan laporan bahawa kereta-kereta dirosakkan di kawasan Bangsar.

“Saya menerima satu SMS hari ini. SMS ini menyebut sila alihkan bahan-bahan berkaitan dengan agama dari kereta anda.

“Mereka merosakkan kereta yang ada objek (simbol) agama Kristian. Protes diadakan di PJ, Shah Alam dan Bangsar,” katanya.

“Ini satu pembohongan,” tegas beliau.

Musa juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak percaya pada khabar angin menerusi SMS dan internet.

“Jika mereka ada sebarang pertanyaan sila hubungi polis. Jangan percaya pada khabar angin,” katanya lagi.

Musa juga mengesahkan tiga demonstrasi telah diadakan di Kuala Lumpur, dua di Pahang, empat di Selangor dan satu di Terengganu.

“Tempoh protes hanya antara 13 hingga 15 minit dan mereka telah bersurai selepas diminta berbuat demikian.

“Oleh kerana mereka ikut arahan polis mereka tidak ditahan,” katanya.

Katanya situasi adalah terkawal dan tidak sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya juga telah mengarahkan kesemua Ketua Polis Negeri agar menjalankan rondaan dan memantau masjid dan gereja bagi mengelakkan tidak diingini di kawasan masjid dan gereja.

“Jadi tidak mahu orang ramai menyalahkan satu sama lain. Kami akan memantau situasi dua, tiga hari lagi,” kata beliau.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi amaran agar media tidak mensensasikan keadaan sebenar.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails