Wednesday, January 13, 2010

Bakar Gereja : Hishamuddin ugut Anwar?

PUTRAJAYA 12 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau sengaja menggunakan isu agama dan perkauman berhubung insiden serangan ke atas gereja.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika terdapat bukti dan laporan bahawa Anwar atau pihak-pihak tertentu sengaja menggunakan isu tersebut, mereka akan dikenakan tindakan tegas.

"Isu-isu berkait agama dan perkauman besar risikonya, tetapi kita menanganinya dengan bertemu untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan iaitu pengurusan gereja, bukan untuk melaga-lagakan tetapi tenangkan keadaan supaya kita stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, majoriti rakyat sudah cukup matang dan tidak mahu melihat kekecohan atau polemik tetapi ada segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu serangan ke atas lapan buah gereja sejak minggu lalu.

Terdahulu beliau menghadiri majlis perhimpunan bulanan dan amanat tahun baru kepada warga KDN.

Hadir sama dua timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Jelaing anak Mersat serta Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membendung gejala serangan ke atas gereja dan menuduh UMNO sebagai dalang sebenar di dalam perkara ini.

"Kestabilan dan keharmonian adalah hasil tindakan dan perancangan pihak berkuasa tetapi ia tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.

"Rakyat perlu faham, ada maklumat yang kita boleh kongsi, ada yang tidak agar proses siasatan lancar, sebab itu polis perlu melihat sesuatu kes secara menyeluruh dan ia memakan masa," katanya.

Ditanya cadangan Pengerusi Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar supaya Majlis Perundingan Keharmonian Nasional ditubuhkan, Hishammuddin berkata, beliau akan mengaturkan pertemuan dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan perkara itu.


Utusan Malaysia Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails