Saturday, January 9, 2010

Bakar Gereja : Berani kerana rasa dilindungi.

Pihak yang merasa diri mereka tidak dilindungi tidak berani membakar dan menceroboh beberapa gereja di Lembah Klang semalam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Saya percaya, hanya mereka yang merasa dilindungi yang berani berbuat demikian," katanya sambil merujuk serangan-serangan sedemikian ke atas pejabat-pejabat parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan rumah para pemimpin parti-parti tersebut.

Beliau juga mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang disifatkannya memberi kata-kata pembakar semangat kepada mereka yang memilih cara yang provokatif dalam menangani isu antara kaum dan agama yang sangat sensitif.

"Umpamanya, kalau si ayah kata anaknya tidak boleh dihalang apabila si anak hendak memilih provokasi terhadap jiran, tentulah anaknya fikir bakar rumah jiran pun si ayah tak akan halang," katanya.

Mengenai apa yang disifatkannya sebagai kata-kata pembakar semangat itu, Mohamad merujuk berita Bernama yang melaporkan bahawa Najib berkata, kerajaan tidak akan menghalang para penunjuk perasaan jika mereka mahu berhimpun di sekitar kawasan masjid selagi ia di dalam lingkungan batas kawasan itu.

Utusan Malaysia pula melaporkan Najib berkata, mereka yang hendak berhimpun membantah penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan agama lain "tidak boleh dihalang untuk berhimpun asalkan di dalam pagar masjid".

Bernama juga melaporkan Hishammuddin berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi membantah penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

"Sepatutnya mereka mencari jalan meredakan suasana tegang memandangkan Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan majalah Herald itu," kata Mohamad.

Mengenai amaran Hishammuddin bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menggunakan apa jua cara termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), beliau mengingatkan Menteri Dalam Negeri itu bahawa penggunaan akta tersebut tidak akan meredakan perasaan mereka yang telah diransang dengan kata-kata pembakar semangat tersebut.

"Ketegangan tidak akan reda kerana kerajaan Umno tidak akan menangkap dalang-dalang utama ketegangan seperti yang berlaku dalam Operasi Lallang 1987 dahulu.

"Kita tahu, mereka akan mengambil peluang untuk melepaskan dendam terhadap para pemimpin pembangkang.

"Sejarah Operasi Lallang mungkin akan berulang di mana pemimpin-pemimpin pembangkang yang tidak terlibat mencetuskan ketegangan telah dijadikan mangsa untuk menutup kesalahan Umno menggunakan isu perkauman ketika itu," kata beliau yang turut dimangsakan operasi tersebut.

Beliau berharap mereka yang tidak berpuas hati terhadap penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald supaya tidak mengambil kesempatan untuk melepaskan geram secara tidak bertamadun.

"Semua orang ada hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju tentang sesuatu perkara. Tetapi, perbuatan membakar gereja tidak akan menyelesaikan rasa tidak puas hati mereka malah akan menyebabkan orang-orang Islam dipandang negatif.

"Soal kaum dan agama sangat sensitif, apa salahnya memilih cara yang lebih tenang seperti mengadakan perbincangan?" katanya.

Jika perbincangan diadakan, katanya, banyak perkara boleh dibincangkan dengan sikap yang lebih matang termasuk Perkara 11 (4) Perlembagaan Malaysia yang melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam.

Tiga gereja dilempar bom api, dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah Herald.

Kejadian pertama membabitkan Gereja Metro Taber Nacre A/G Catholic di Taman Melawati disusuli Gereja Assumption Assunta, Petaling Jaya dan Gereja Chappel, Damansara.


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails