Sunday, January 10, 2010

Anggota Tentera yang masih Berkhidmat! Sila ambil perhatian..

Inilah nasib mereka yang telah bersara dari perkhidmatan, walaupun selama berkhidmat mereka menyokong kerajaan tanpa berbelah bagi..

Dengan pampasan RM1000 dan Notis selama dua minggu mereka diusir dari kawasan yang telah diteroka oleh mereka sendiri..

Adakah ini yang anda sekelian impikan??



KUALA LUMPUR 9 Jan. – Penduduk Kampung Wira Jaya, Gombak dekat sini yang majoritinya terdiri daripada bekas anggota tentera merayu kerajaan prihatin dengan nasib mereka yang diarah berpindah dari kampung tersebut.

Penduduk diarahkan berpindah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak April lalu bagi memberi laluan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wira Jaya, Sharif Bahaman, 73, berkata, DBKL telah mengeluarkan notis agar mereka berpindah dari kawasan itu ke PPR Ayer Panas dan diberi pampasan RM1,000.

“Notis itu menyatakan kami perlu berpindah dari sini dalam tempoh dua minggu, ia sesuatu yang tidak munasabah dan jika kami enggan berpindah, DBKL akan robohkan rumah dan kami dikehendaki menanggung kos tersebut.

“Atas alasan itu, 40 keluarga yang tinggal di sini sepakat membawa kes ini ke mahkamah dan kes itu akan dibicarakan semula pada 13 Januari ini,” katanya.

Beliau ditemui ketika majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan Masyarakat, Taman Wira Jaya berhampiran kampung berkenaan hari ini.

Hadir sama Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Ghani.

Muhammad bertemu penduduk setempat bagi membincangkan masalah yang dihadapi sejak 35 tahun lalu.

Perjumpaan itu bertujuan mengadu dan mengemukakan masalah dihadapi dengan harapan nasib mereka sebagai bekas anggota tentera diberi perhatian.

Sejak mula diteroka, kampung tersebut telah dihuni tiga generasi keluarga bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat sejak zaman penjajahan lagi.

Seorang lagi penduduk yang juga bekas anggota tentera, Aris Talib, 58, berkata, walaupun ia kawasan setinggan, namun ia tersusun berbanding setinggan di tempat lain.

“Ketika pembukaan awal kampung ini dahulu, ia dilakukan secara tersusun demi keselesaan penduduk walaupun dalam keluasan 50 x 60 meter persegi untuk setiap rumah.

“Hanya terdapat 100 rumah dalam kawasan seluas dua hektar ini. Kalau sebelum ini penduduk Kampung Desa Pahlawan yang jauh lebih luas dari kawasan ini dapat hak milik, mengapa tidak bagi tanah sekangkang kera ini,” luahnya.

Tambahnya Aris, kini hanya terdapat lebih 30 keluarga bekas tentera yang menghuni kampung itu.


Utusan Malaysia Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails